Keluar Cari Kerja di Bangsar, Lelaki Dilapor Hilang Sejak Tiga Bulan Lalu

“Nak, kalau kamu nampak mesej ini, tolong hubungi kami. Tidak kira apa yang telah berlaku, keluarga masih menunggu kepulangan kamu.”
Begitu mesej yang disampaikan oleh seorang bapa yang bimbang terhadap anak lelakinya berusia 21 tahun yang hilang tanpa khabar berita selama tiga bulan, sekali gus membuatkan keluarga risau akan keselamatannya.
Menurut Huang Shigeng, anaknya, Zhenliang, telah menamatkan pengajian pada Oktober tahun lalu dan pernah bekerja di Cheras untuk suatu tempoh.
Huang berkata, pada hari ketujuh Tahun Baharu Cina tahun ini, anaknya memaklumkan kepada keluarga ketika makan malam perjumpaan keluarga bahawa dia mahu pergi ke Bangsar untuk mencari pekerjaan.
Namun, Huang tidak menyangka bahawa itulah kali terakhir dia mendengar khabar daripada anaknya yang kini dilaporkan hilang sejak tiga bulan lalu, lapor China Press.
Huang yang bekerja sebagai pemandu lori di Seremban berkata dia jarang berjumpa dengan anaknya kerana tuntutan kerja.
Disebabkan itu, dia tidak menyedari keadaan tersebut begitu serius sehinggalah dia sendiri gagal menghubungi anaknya.
“Kami sudah berkali-kali menghubungi telefon bimbitnya. Talian masih aktif, tetapi tiada siapa menjawab. Kami tidak tahu di mana dia berada sekarang atau sama ada dia selamat.
“Kami membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang pada 19 Mei selepas dia tidak pulang ke rumah selama beberapa minggu,” katanya.
Huang turut mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Lim Lip Eng dengan harapan anaknya dapat ditemui secepat mungkin.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan pemuda berusia 21 tahun itu diminta menghubungi Huang di talian 016-302 0588.



