Berita

Prestasi Pelajar Lemah, Guru Persoal Ibu Bapa Melayu Hantar Anak Belajar Di SJKC

Seorang guru di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mencetuskan perdebatan dalam talian selepas mendakwa ramai murid Melayu yang belajar di sekolah tersebut menghadapi masalah akademik disebabkan kurangnya penglibatan ibu bapa di rumah.

Menurut laporan mStar, semakin ramai ibu bapa di Malaysia, khususnya Melayu, memilih menghantar anak ke SJKC dengan harapan mereka dapat menguasai bahasa Mandarin.

Namun, guru tersebut berpendapat menghantar anak ke sekolah itu sahaja tidak mencukupi.

Menurutnya, ramai ibu bapa terlalu bergantung kepada pihak sekolah dan guru tanpa membantu pembelajaran anak-anak di luar bilik darjah.

“Tak guna hantar anak ke SJKC kalau kerja sekolah mereka pun tak pernah diperiksa,” katanya.

Guru itu turut mendakwa kebanyakan murid Melayu di sekolah tersebut lemah dalam subjek seperti Bahasa Cina, Matematik, Sains, Sejarah dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) kerana banyak melibatkan penggunaan bahasa serta tulisan Cina.

Tambahnya lagi, kebanyakan murid hanya menunjukkan prestasi lebih baik dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam kerana subjek tersebut tidak diajar menggunakan tulisan Cina.

“Ibu bapa okay ke tengok anak dapat keputusan teruk dari Tahun Satu sampai Tahun Enam?” soal guru itu.

Guru berkenaan turut mempersoalkan bagaimana murid yang mempunyai keputusan akademik lemah mampu bersaing untuk memasuki sekolah menengah yang baik pada masa depan.

“Macam mana nak masuk sekolah menengah bagus kalau keputusan tak elok?” katanya lagi.

Dalam pada itu, guru tersebut berpendapat ada segelintir murid yang mungkin sebenarnya mampu memperoleh keputusan lebih baik sekiranya belajar di Sekolah Kebangsaan (SK).

“Anda tahu tak anak anda mungkin boleh dapat keputusan lebih baik kalau masuk Sekolah Kebangsaan?” ujarnya.

Pada masa sama, guru itu menegaskan bahawa penguasaan bahasa Mandarin masih boleh dipertingkatkan melalui kelas tuisyen luar tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada SJKC.

“Awak ingat cikgu Bahasa Cina nak tunggu anak awak? Kalau dah tertinggal, memang akan terus tertinggal. Ambil tuisyen Bahasa Cina di luar pun dah cukup,” tambahnya lagi.

Related Articles

Back to top button