Didera Bapa & Dihalau Saudara Sendiri, Dua Beradik Kembali Berlindung Di Rumah Kebajikan

Selepas menyangka mereka akhirnya dapat meninggalkan kehidupan penuh derita dengan tinggal bersama saudara-mara, harapan dua beradik lelaki ini musnah apabila dihalau tanpa sebab oleh ahli keluarga sendiri.
Tanpa tempat untuk dituju, mereka terpaksa kembali mendapatkan perlindungan di sebuah rumah kebajikan di Johor Bahru yang pernah menjaga mereka sebelum ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook oleh pengurus Pertubuhan Kebajikan TBQ Amal, Herman Sudil memaklumkan bahawa ibu kepada dua beradik itu telah bercerai ketika mereka masih kecil.
Selepas ibu mereka meninggal dunia, kehidupan mereka menjadi tidak menentu apabila dipindahkan dari seorang penjaga ke penjaga lain sebelum akhirnya tinggal bersama bapa kandung sendiri.
Namun, detik itu menjadi permulaan mimpi ngeri buat mereka apabila kedua-duanya dipukul oleh bapa sendiri hanya kerana menyatakan hasrat untuk bersekolah dan bukannya bekerja dengan bapa mereka.
Malah, penderaan yang dialami begitu teruk sehingga mereka terpaksa dirawat di hospital selama dua minggu.
Pihak berkuasa kemudian campur tangan selepas menerima laporan mengenai penderaan tersebut sebelum mereka dihantar ke Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal di Johor.

Tidak lama kemudian, beberapa saudara-mara dari negeri lain menawarkan diri untuk menjaga mereka, sekali gus membuatkan dua beradik itu percaya mereka akhirnya menemui tempat untuk dipanggil rumah.
Malangnya, harapan itu tidak bertahan lama apabila mereka pulang dari sekolah pada suatu hari dan mendapati pakaian mereka telah dicampakkan keluar daripada rumah.
Tanpa hala tuju, mereka membuat keputusan untuk kembali ke satu-satunya tempat yang mereka rasakan benar-benar selamat iaitu Rumah Perlindungan Kanak-Kanak TBQ Amal.
“Mereka meminta untuk pulang ke Johor bukan sebab mereka kenal ramai orang di sana, tetapi kerana TBQ Amal adalah tempat paling selamat yang pernah mereka kenal.
“Kami membeli tiket bas untuk mereka dan akhirnya mereka tiba di Terminal Larkin sebelum dijemput oleh warden kami,” tulis Herman.
Tambahnya lagi, sepanjang kehidupan yang penuh liku itu, apa yang sentiasa mereka bawa di dalam beg hanyalah sebuah harapan, agar suatu hari nanti mereka dapat merehatkan kepala di sebuah tempat yang penuh kehangatan dan kasih sayang.



