Aweera Lukis Muka Siti Khadijah Sebab Minat

Penyanyi, Aweera, 34, tampil menjelaskan tindakannya memuat naik lukisan wajah pelakon Siti Khadijah Halim di media sosial selepas perkongsian itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Pemilik nama sebenarn Nasharul Aweera Norhissham berkata, tiada sebarang maksud tersembunyi di sebalik perkongsian tersebut, sebaliknya dilakukan atas dasar minatnya terhadap seni selain mengagumi bakat lakonan pelakon berkenaan.
Menurut penyanyi itu, dia sememangnya gemar melukis dan menghasilkan lirik, malah idea untuk melukis wajah Siti Khadijah muncul secara spontan ketika sambutan hari lahir aktres tersebut.
“Saya hanya ucapkan selamat hari lahir dan kongsikan lukisan itu saja. Kami sebenarnya tidak mempunyai hubungan rapat atau berhubung secara peribadi.
“Saya memang suka tengok lakonan dia dalam drama dan saya kagum dengan bakat yang dimiliki. Kebetulan pula waktu itu hari lahir dia, jadi saya rasa seronok untuk hasilkan lukisan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Aweera turut menjelaskan bahawa pelakon tersebut juga tidak memberikan sebarang reaksi terhadap perkongsiannya dan dia menghormati perkara itu.
Katanya, segala tanggapan dibuat netizen mengenai hubungan mereka hanyalah andaian semata-mata.
“Dia pun tidak balas komen saya dan itu hak dia. Saya cuma menghargai bakat serta penampilan dia sebagai pelakon muda yang bagus.
“Tiada apa-apa isu pun antara kami seperti yang diperkatakan orang luar,” ujarnya.
Sebelum ini, perkongsian Aweera di media sosial yang memaparkan lukisan wajah Siti Khadijah menjadi perhatian ramai sehingga ada yang mula membuat spekulasi mengenai hubungan istimewa antara mereka.
Dalam perkembangan lain, Aweera turut meluahkan rasa teruja menjelang Konsert Trilogi yang bakal menemukan dirinya di atas satu pentas bersama Aepul Roza dan Fiq Halim.



