“Bertudung? Belum Lagi, Tapi Pernah Terdetik”

Pelakon, Nazia Mustafar, 44, memaklumkan dirinya masih belum berhijab sepenuhnya meskipun kini sering dilihat tampil dengan imej menutup kepala dalam beberapa penampilan terbaharu.
Pemilik nama penuh Siti Naziyah Sheikh Mustafar, menjelaskan perubahan gaya yang ditunjukkan ketika ini hanyalah fasa awal dan percubaan peribadi ke arah menutup aurat dengan lebih baik.
“Bertudung? Belum lagi, kadang-kadang bila dah berusia begini memang pernah terdetik. Tapi kita nak pakai sendiri tak nak dipaksa sesiapa,” katanya.
Tambahnya lagi, dia tidak menafikan kewajipan menutup aurat, namun masih dalam proses menyesuaikan diri secara perlahan-lahan.
“Sebenarnya kalau nak ikutkan memang wajib tapi saya cuba-cubalah ke arah itu. Insya-Allah doa yang baik-baik untuk saya. Saya cuba-cuba, keluar pun kadang-kadang pakai topi, ‘hoodie’ sebab menutup aurat tak semestinya kena bertudungkan.
“Sebenarnya bermula saya malas nak ‘adjust’ (mendandan) rambut, dahulu saya jaga. Kita pula masak selalu pakai skop hari-hari. Bila nak keluar, saya macam tak perlulah, bertudunglah. Lama-lama rasa macam pakai sajalah, okey juga,” katanya.
Dalam masa sama, Nazia turut mendedahkan suaminya sentiasa memberi sokongan dan berharap dia dapat berubah ke arah yang lebih baik pada masa hadapan.
“Suami saya memang selalu cakap (pakai tudung). Saya pun suruh dia doakan saya. Saya fikir saya dah nak dekat 50 tahun, mungkin nanti. Tak nak isytiharkan apa-apa, semoga adalah,” ujarnya seperti dilapor Kosmo.
Sebelum ini, penampilannya yang semakin kerap menutup kepala dalam media sosial termasuk ketika sambutan Aidilfitri telah mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.



