Gaya Hidup

Pasang 3 Stent Pada Jantung, Zamarul Hisham Mula Pilih Watak

Pelakon, Zamarul Hisham, 55, kini lebih berhati-hati dalam memilih watak selepas berdepan serangan jantung yang dialaminya tahun lalu sehingga memaksanya mengubah cara kerja dan rutin harian.

Menurut Zamarul, faktor kesihatan menyebabkan dia tidak lagi berani mengambil risiko untuk melakonkan babak aksi atau karakter yang terlalu berat dari segi fizikal dan emosi seperti sebelum ini.

“Saya sebenarnya tidak memilih watak tetapi keputusan tersebut disebabkan faktor kesihatan selepas menjalani prosedur memasukkan stent pada jantung.

“Saya juga mengehadkan tempoh penggambaran selalunya maksimum sehingga pukul 11 malam sahaja sebab kalau lebih daripada itu, badan sudah tidak sekuat dulu.

“Tetapi kalau ikutkan hati, memang saya masih mahu cuba apa sahaja watak dan babak lasak cuma semuanya bergantung kepada kemampuan diri,” katanya.

Tambah Zamarul, buat masa ini dia lebih selesa menerima naskhah yang lebih ringan dan tidak terlalu memberi tekanan kepada dirinya sepanjang proses penggambaran.

Katanya, genre santai terutama komedi menjadi pilihan kerana mahu menjaga tahap kesihatan selain mengelakkan tekanan melampau ketika bekerja.

“Sekarang ini saya banyak menerima karya yang ringan seperti komedi santai kerana tak mahu terlalu stres bekerja.

“Kadang-kadang kalau ada naskhah berat yang saya tahu mempunyai potensi besar, saya masih akan pertimbangkan dan terima juga,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Zamarul bersyukur keadaan kesihatannya kini semakin baik selepas menjalani prosedur pemasangan tiga stent pada jantung.

Menurutnya, perubahan gaya hidup termasuk penjagaan makanan dan rutin senaman ringan banyak membantu dirinya kembali cergas.

“Setakat ini kesihatan saya berada dalam keadaan baik. Selepas memasukkan tiga stent jantung, rasa macam badan jadi lebih muda sedikit.

“Kalau pemakanan memang kena lebih berjaga-jaga termasuk kurang ambil makanan berminyak.

“Dahulu pun saya memang tidak pernah bersenam tetapi sekarang kena biasakan diri, malah boleh kata setiap hari saya akan ‘brisk walk’,” katanya.

Terdahulu, Zamarul pernah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan pada Februari tahun lalu selepas mengalami sesak nafas ketika menjalani penggambaran.

Pemeriksaan lanjut mendapati pelakon tersebut mengalami saluran jantung tersumbat sehingga menyebabkan serangan jantung secara mengejut.

Related Articles

Back to top button