“Dia Anak Yatim Piatu, Bila Lihat Keadaannya Saya Jadi Sebak”

Pelakon, Ozlynn Waty tidak dapat menahan air mata ketika berkongsi mengenai keadaan sahabat baiknya yang juga aktres, Azar Azmi yang pernah melalui pelbagai dugaan hidup.
Menurut Ozlynn, dia sebenarnya kurang selesa untuk terlalu terbuka memperkatakan tentang kisah peribadi Azar kerana tidak mahu sahabatnya itu kembali mengingati episod hitam yang pernah dilalui sebelum ini.
Katanya, apa yang paling penting buat dirinya ketika ini adalah melihat Azar terus kuat menjalani kehidupan bersama anak-anak serta menemui kebahagiaan yang dicari.
“Saya mahu dia gembira dengan kehidupan bersama anak-anaknya. Saya harapkan yang terbaik untuk dia kerana setiap manusia diuji dengan cara berbeza. Saya sendiri pernah melalui fasa sukar bersama Johan satu ketika dahulu, jadi saya faham bagaimana rasanya hidup dalam kekurangan.
“Sebenarnya saya tidak mahu bercakap mengenai isu ini kerana ia sangat sensitif, bukan sahaja buat saya tetapi juga Azar. Saya mahu dia tenang dan bahagia dengan kehidupannya sekarang.
“Itu ujian buat dia dan saya berada di sisi ketika dia melalui semua itu. Kami selalu berhubung menerusi panggilan video.
“Saya pernah melihat dia melalui zaman gembira dan tahu latar belakang kehidupannya. Dia anak yatim piatu dan dibesarkan kakaknya. Jadi apabila melihat keadaannya, saya jadi sebak,” katanya.
Dalam pada itu, Ozlynn menjelaskan segala bantuan yang diberikan kepada Azar dilakukan dengan penuh keikhlasan dan bukan untuk meraih perhatian mana-mana pihak.
Malah katanya, dia tidak pernah memilih bulu untuk membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan selagi dirinya mempunyai kemampuan.
“Saya bantu bukan untuk menunjuk kaya atau apa-apa, tetapi kerana saya pernah melalui kesusahan. Sebagai hamba Allah, saya rasa menjadi tanggungjawab untuk membantu sesiapa yang memerlukan.
“Demi Allah, kalau saya ada rezeki lebih, saya akan bantu. Bukan hanya sebab dia Azar walaupun dia sahabat saya. Sesiapa sahaja, jika saya mampu, saya akan kongsi rezeki,” ujarnya.
Sebelum ini, menerusi podcast Sembang Seram, Azar mendedahkan Ozlynn merupakan antara individu yang banyak membantunya daripada sudut kewangan dan emosi ketika dirinya berdepan fasa sukar dalam kehidupan.
Azar berkata Ozlynn juga antara individu terawal yang mengetahui keadaan sebenar dirinya sebelum dia berdepan detik mencabar bersama pihak berkuasa.
Menurut Azar, bantuan yang diberikan termasuk sumbangan zakat sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidupnya ketika berada dalam kesempitan.
Malah, Azar turut menyifatkan Ozlynn sebagai sahabat yang sentiasa ada di sisi dan tidak pernah menghakimi dirinya walaupun ketika berada di titik paling rendah dalam kehidupan.



