Disyaki Langgar Undang-Undang Pasaran Modal, Waran Tangkap Dikemukakan Kepada Bang Si Hyuk

Permohonan waran tangkap telah dikemukan terhadap pengasas dan pengerusi HYBE Corporation, Bang Si Hyuk, susulan dakwaan kes penipuan pelaburan.
Agensi Polis Metropolitan Seoul pada 21 April memaklumkan Bang, 53, disyaki melanggar undang-undang pasaran modal.
Dia dituduh mengelirukan pelabur dengan secara rahsia merancang penyenaraian awam (IPO) bagi konglomeratnya, sambil mendakwa bahawa penyenaraian tersebut tidak mungkin berlaku.
Akibatnya, pelabur awal dilaporkan menjual saham mereka kepada sebuah dana ekuiti persendirian yang mempunyai kaitan dengan individu rapat Bang pada tahun 2019, menurut Reuters.
Siasatan polis mendapati bahawa dana tersebut kemudiannya menjual pegangan mereka selepas HYBE Corporation disenaraikan di bursa saham pada Oktober 2020.
Bang didakwa menerima kira-kira 30 peratus daripada keuntungan melalui perjanjian pemegang saham terdahulu, sekali gus meraih sekitar 190 bilion won (S$163.58 juta) secara tidak sah tanpa pendedahan awam yang sewajarnya.
Pihak polis telah meminta pendakwa raya untuk memohon waran tangkap terhadap Bang.
Walaupun peguam Bang tidak memberi respons secara langsung terhadap dakwaan tersebut, mereka menyatakan kekesalan terhadap tindakan polis yang mahu mendapatkan waran tangkap, walaupun Bang telah memberi kerjasama dalam siasatan, menurut Associated Press.
Bang bagaimanapun sebelum ini menafikan sebarang salah laku.
Dalam masa sama, aia juga telah dilarang meninggalkan Korea Selatan sejak Ogos 2025 berikutan siasatan yang sedang berjalan.
Menurut Korea JoongAng Daily, Kedutaan Amerika Syarikat di Seoul telah menghantar surat meminta pihak berkuasa Korea Selatan membenarkan Bang ke Amerika Syarikat.
Surat tersebut memohon agar larangan perjalanan beliau ditarik balik sementara waktu bagi membolehkan Bang dan beberapa eksekutif kanan HYBE Corporation menghadiri acara sempena Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai, serta mengadakan perbincangan berkaitan jelajah global BTS.
Setakat ini, pihak berkuasa Korea Selatan mahupun Kedutaan AS di Seoul tidak memberikan komen lanjut.
Bang, seorang bilionair, dikenali sebagai tokoh penting di sebalik BTS dan telah menghasilkan muzik untuk kumpulan itu sejak 2010.
Agensinya juga menaungi artis-artis popular seperti TOMORROW X TOGETHER, ENHYPEN, NewJeans, LE SSERAFIM dan ILLIT.



