Berita

Perlu Atau Tidak Wanita Hamil Minta Ehsan Tempat Duduk Dalam MRT Yang Sesak?

Seorang wanita mencetuskan perdebatan hangat dalam talian selepas berkongsi pandangannya sama ada penumpang hamil wajar mengharapkan orang lain menawarkan tempat duduk dalam pengangkutan awam atau tidak.

Hantaran tersebut dibuat susulan satu aduan tular oleh seorang wanita hamil yang mendakwa tiada siapa menawarkan tempat duduk kepadanya ketika menaiki MRT dari Stesen MRT Tun Hussein Onn ke Bukit Bintang, walaupun perutnya yang besar jelas kelihatan.

Sebagai respons, wanita itu berpendapat penumpang lain bukan pembaca minda dan mungkin tidak menyedari seseorang itu hamil, terutamanya dalam tren yang sesak.

“Lain kali kalau nak duduk tapi tiada tempat, beritahu sahaja. Jangan lepas itu mengadu di media sosial,” tulisnya.

Tambahnya, ramai penumpang sebenarnya penat, leka dengan fikiran sendiri atau tidak peka dengan keadaan sekeliling.

“Mungkin orang letih, fikir hal sendiri atau tak perasan. Bukan sebab mereka tak peduli,” jelasnya.

Kenyataannya itu mendapat perhatian ramai, dengan netizen memberikan pelbagai pandangan. Ada yang bersetuju, menyatakan bahawa penumpang tidak boleh mengandaikan orang lain sedar keadaan mereka.

Ada juga yang berkongsi pengalaman sendiri, mengatakan mereka kadangkala ‘terleka’ atau tertidur dalam tren kerana keletihan, lalu terlepas pandang situasi sekeliling.

Seorang lagi netizen yang pernah hamil berkata dia tidak kisah berdiri dalam pengangkutan awam.

Menurutnya, jika ada yang menawarkan tempat duduk, dia akan menerimanya, namun dia berasa segan untuk meminta kerana bimbang dianggap mementingkan diri.

Seorang pengguna lain pula berpendapat bahawa bersuara adalah lebih berkesan berbanding mengharapkan orang lain memahami secara senyap.

Perbincangan ini akhirnya menekankan kepentingan empati dari kedua-dua pihak. Mereka yang memerlukan bantuan perlu berani berkomunikasi, manakala orang lain pula harus lebih peka dengan keadaan sekeliling.

Seperti yang dirumuskan oleh seorang netizen: “Kalau kita nak orang faham kita, kita pun kena faham orang lain. Kita bukan hidup seorang diri dalam dunia ini.”

Related Articles

Back to top button