Viral

Ako Mustapha Dakwa Anak Dibuli 5 Pelajar Di Sekolah

Pelakon, Ako Mustapha meluahkan rasa marah dan kesal apabila anak lelakinya, Mikael Iskandar, 10, didakwa menjadi mangsa buli melibatkan lima pelajar di sekolah.

Ako berkongsi perkara itu menerusi platform Threads selepas anaknya mengadu dipukul sehingga meninggalkan kesan kecederaan pada beberapa bahagian badan.

Menurutnya, kejadian tersebut hanya disedari sebaik anaknya pulang dari sekolah sebelum menunjukkan kesan lebam yang mencurigakan.

“Saya sangat marah. Anak saya, Mika, kena buli oleh lima pelajar. Dua pelajar senior dan tiga lagi rakan sekelas.

“Selepas pulang dari sekolah, dia mandi sebelum memaklumkan kejadian itu. Ketika mengeringkan badan, saya nampak kesan tapak kasut dan tumbukan pada perutnya, lalu terus bertanya lanjut,” tulisnya.

Ako berkata, anaknya kemudian menceritakan secara terperinci kejadian yang berlaku, sekali gus membuatkan dia bertindak segera dengan merakam bukti kecederaan tersebut.

“Semua gambar dan video kesan pada badan Mika sudah saya hantar kepada guru kelasnya.

“Ketika ini kami berada di Hospital Kuala Lumpur selepas dirujuk oleh doktor klinik kerajaan. Selepas ini, kami akan membuat laporan polis,” katanya.

Dalam masa sama, Ako menegaskan tidak akan berdiam diri dan mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap pelajar yang terlibat.

“Saya mahu berjumpa pelajar yang buli anak saya dan akan mengikut prosedur undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, Ako turut menghargai tindakan pantas pihak sekolah yang memberikan kerjasama dalam menangani insiden tersebut.

“Saya juga berterima kasih kepada guru kelas Mika yang banyak membantu sejak siang tadi. Alhamdulillah, pihak sekolah tidak lepas tangan,” ungkapnya lagi.

Related Articles

Back to top button