Berita

Masalah Jantung, Nash Akan Dibantu

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menyatakan kesediaan untuk membantu penyanyi rock, Datuk Nash yang baru sahaja berdepan serangan jantung.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez memaklumkan pihaknya bercadang untuk menziarahi vokalis kumpulan Lefthanded itu dalam masa terdekat, namun memilih untuk menunggu sehingga keadaan Nash benar-benar stabil.

“Kami memang merancang untuk melawat Nash, tetapi biarlah selepas dia keluar dari hospital supaya tidak mengganggu waktu rehatnya.

“Saya menerima berita petang semalam dan agak terkejut apabila dimaklumkan dia rebah,” katanya.

Tambah Freddie, sebagai organisasi yang memperjuangkan kebajikan anak seni, Karyawan sentiasa komited untuk tampil membantu rakan industri yang berdepan ujian kesihatan.

“Kita pasti akan menziarahi dan membantu Nash. Walaupun sumbangan itu mungkin tidak besar, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang ditanggung,” ujarnya lagi seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu, penyanyi lagu Pada Syurga Di Wajahmu itu dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang selepas mengalami serangan jantung.

Bagaimanapun, Nash dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan pulang ke rumah hari ini selepas berjaya menjalani prosedur pemasangan sten dan belon.

Related Articles

Back to top button