Lagu Baharu

Untuk Yang Memunggu Jodoh, Ini ‘Lagu Rasmi’ Daripada Andi Bernadee Untuk Anda

Santai, mesra telinga dan mudah diterima, itu anggapan sebahagian besar peminat tatkala mendengarkan buah tangan terbaharu daripada Andi Bernadee saat ini. 

Menggunakan judul Aku Nak Kahwin, naskhah ini dianggap cukup santai yang ‘kena’ dengan realiti kehidupan ramai orang, khususnya mereka yang sedang menanti jodoh.

Mengangkat tema yang dekat dengan masyarakat, Aku Nak Kahwin berkisarkan tentang seseorang yang sudah bersedia untuk berkahwin namun masih menunggu jodoh yang dipermudahkan. 

Dengan lirik yang jujur dan bersahaja, lagu ini turut menyentuh tentang tekanan daripada keluarga dan sekeliling, di samping harapan untuk membina cinta yang halal dan bahagia.

Menurut Andi, lagu ini mempunyai kekuatan dari segi mesej yang mudah difahami dan dekat dengan pengalaman ramai. Aku Nak Kahwin terasa sangat dekat dengan realiti ramai orang, terutamanya mereka yang sudah lama bersendirian dan bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. 

Lagu ini membawa mesej yang jujur dengan lirik yang ‘straight forward’, menjadikannya mudah untuk pendengar kaitkan dengan pengalamannya sendiri.

Dalam landskap muzik semasa yang banyak dipenuhi lagu bertemakan kekecewaan cinta, Andi melihat single ini sebagai satu nafas baharu. 

“Saya rasa kita agak kurang lagu dengan tema sebegini. Kebanyakan lagu di carta sekarang lebih kepada kisah putus cinta atau kecurangan. Jadi, Aku Nak Kahwin hadir dengan vibe yang lebih ringan dan positif, sedikit perubahan mood yang lebih gembira untuk pendengar,” tambahnya.

“Selain itu, lagu ini juga mengetengahkan isu yang sering dihadapi oleh generasi muda, terutamanya berkaitan tekanan sosial dan keluarga. Isu ini memang sudah lama wujud dan masih relevan hingga hari ini. 

“Lebih-lebih lagi apabila berkumpul dengan keluarga, soalan seperti ‘bila nak kahwin?’ pasti akan timbul. Pada saya, penting untuk kita hadapinya dengan tenang dan tidak terlalu beremosi, serta sentiasa bergantung kepada sokongan diri sendiri dan orang terdekat,” kata Andi.

Bercerita mengenai komposisi produksi pula, lagu ini menampilkan gabungan elemen nyanyian dan rap yang memberikan kelainan pada karya ini. 

Andi menyampaikan lagu ini dengan santai dan tidak memberikan penekanan terlalu berat kepada vokal namun menjaga kawalan pernafasan dengan baik.

Naskhah ini juga adalah gabungan dua elemen berbeza, nyanyian melodi dan rap yang memberikan warna tersendiri kepada lagu ini, dan pada masa sama menjadi satu cabaran yang menyeronokkan kepada dirinya.

Di sebalik pelancaran ini, Andi turut berkongsi bahawa perjalanan untuk merealisasikan lagu ini bersama album penuhnya, Ding Geding, bukanlah sesuatu yang mudah. 

Sebelum ini, perancangan pelancaran terpaksa ditangguhkan apabila beliau diuji dengan masalah kesihatan.

Namun begitu, tempoh tersebut menjadi ruang untuk beliau berehat, pulih sepenuhnya dan kembali dengan semangat serta tenaga yang lebih baik. 

Kini, dengan keadaan kesihatan yang semakin pulih, Andi bersyukur akhirnya dapat berkongsi karya ini kepada peminat.

Selain menyampaikan kisah realiti, lagu ini turut membawa mesej positif tentang kehidupan dan kebahagiaan. 

“Lagu ini membawa mesej yang ringan tetapi bermakna bahawa status seseorang tidak menentukan kebahagiaan. Sama ada single atau sudah berkahwin, setiap orang ada perjalanan masing-masing. 

“Saya berharap Aku Nak Kahwin dapat memberi rasa positif kepada pendengar dan menjadi pembukaan yang baik untuk album penuh saya yang akan datang, Ding Geding,” jelas Andi lagi.

Related Articles

Back to top button