Viral

“Saya Memang Gedik, Nak Buat Macam Mana”

Artis versatil, Ifa Raziah, 51, tidak lagi ambil pusing dengan kritikan yang melabelkannya sebagai ‘gedik’, sebaliknya menganggap itu sebahagian daripada identiti dirinya sejak sekian lama.

Pemilik nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha, berkata sifat tersebut bukan sesuatu yang dibuat-buat, malah sudah menjadi karakter semula jadi yang sukar dipisahkan daripada dirinya.

“Saya memang jenis perempuan yang ‘gedik’, itu diri saya. Nak buat macam mana, memang dari dulu lagi saya begitu.

“Tapi itu tidak bermakna saya negatif atau jahat. Saya hanya seorang yang ‘loud’ dan ceria. Yang penting, saya tidak menyusahkan orang lain,” katanya.

Menurut Ifa, karakter tersebut juga menjadi antara kekuatan yang membantunya terus bertahan dalam industri seni yang penuh cabaran.

“Saya jenis kalau buat sesuatu, akan buat bersungguh sampai berjaya. Saya mahu buktikan kepada mereka yang pernah memandang rendah bahawa saya masih relevan dan mampu berdiri sampai hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ifa turut berkongsi mengenai lagu raya terbaharunya berjudul Gedik-Gedik Raya yang pada awalnya menerima pelbagai reaksi kurang senang.

“Pada awalnya memang ada yang tidak suka. Mereka rasa tak sesuai keluarkan lagu ‘gedik’ waktu Ramadan.

“Tapi bila ramai kecam, secara tidak langsung lagu itu jadi semakin dikenali. Saya anggap itu rezeki, mungkin juga berkat Ramadan,” katanya.

Tambah Ifa, lagu tersebut kini hampir mencecah dua juta tontonan di YouTube, sekali gus membuktikan penerimaan yang semakin baik daripada pendengar.

“Alhamdulillah, daripada kecaman itu juga akhirnya ramai yang tahu dan suka. Saya mahu orang gembira bila dengar lagu ini.

“Sepanjang raya, ramai guna lagu ini di TikTok dan Instagram untuk buat video bersama keluarga dan kawan-kawan. Itu yang saya nak, cipta kenangan indah, bukan buat orang sedih,” kongsi seperti dilapor Berita Harian.

Related Articles

Back to top button