Music

Undangan Jodoh Lebaran Back To Back, Aisha Retno Mengaku Keletihan

Penyanyi, Aisha Retno, 27, mengakui dirinya berada dalam keadaan keletihan susulan jadual kerja yang padat, terutama selepas lagu raya nyanyiannya, Jodoh Lebaran menerima sambutan luar biasa daripada peminat.

Menurut Aisha, dia tidak menafikan keadaan itu turut memberi kesan ketika persembahannya membawakan lagu Tak Adil pada pentas Separuh Akhir Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40 SA), Sabtu lalu.

“Saya memang sudah jangka akan ada yang kata saya nampak penat. Saya terima dan akui perkara itu.

“Sejak Jodoh Lebaran mendapat sambutan hangat, jadual saya sangat padat dengan pelbagai jemputan persembahan yang saya tidak sampai hati untuk tolak kerana menganggapnya sebagai rezeki,” katanya.

Tambah Aisha, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak atas situasi tersebut, sebaliknya melihatnya sebagai cabaran dalam kerjaya seni.

“Saya tidak salahkan sesiapa. Ini semua adalah sebahagian daripada perjalanan sebagai anak seni,” ujarnya.

Mengulas mengenai keputusan apabila lagunya berjaya mara ke peringkat final AJL40, Aisha meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada barisan juri.

“Apabila diumumkan saya bolos AJL 40, saya terkejut. Mungkin ada pihak fikir orang lain lebih layak. Namun, ini adalah AJL dan juri ada pendapat mengapa lagu saya terpilih,” ungkapnya lagi.

Sementara itu, Aisha mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memberi sambutan baik terhadap lagu Jodoh Lebaran hingga merekodkan hampir 20 juta tontonan di YouTube.

Related Articles

Back to top button