Viral

Dirakam Tanpa Kebenaran, Wanita Warga China Tak Faham Bahasa Inggeris Amuk Dalam Pesawat Menuju KL

Seorang wanita telah dikeluarkan daripada penerbangan AirAsia yang dalam perjalanan dari Chongqing, China ke Kuala Lumpur pada 22 April selepas mencetuskan kekecohan sebelum pesawat berlepas.

Video insiden tersebut dirakam oleh seorang penumpang lain dan kemudian dikongsikan di media sosial, termasuk dimuat naik semula di platform X.

Penerbangan AirAsia D7809 dijadualkan berlepas dari Chongqing sekitar jam 2:10 pagi, menurut Flight Radar 24.

Wanita yang dikeluarkan itu dilapor mengaku dirinya sebagai kru China Southern Airlines, menurut Sin Chew Daily.

Dia dipercayai berang selepas seorang penumpang merakamnya ketika dia sedang bercakap telefon sebelum berlepas.

Wanita tersebut meminta penumpang itu memadam rakaman video dan memohon maaf, walaupun dia mengakui bercakap dengan suara yang agak kuat ketika menggunakan telefon.

Begitupun, wanita itu menegaskan bahawa tiada kesalahan untuk menggunakan telefon sebelum pesawat berlepas.

“Apa salah saya? Internet akan terputus secara automatik apabila pesawat berlepas, jadi saya tidak boleh membuat panggilan ketika itu. Tapi dia pula keluarkan telefon untuk merakam saya,” katanya.

Penumpang yang merakam video itu enggan memadam rakaman tersebut.

Seorang pramugari kemudian menghampiri wanita itu dan bercakap dengannya dalam bahasa Inggeris.

Situasi itu menyebabkan wanita tersebut semakin marah kerana dia mendakwa tidak memahami apa yang disampaikan dan merasakan kakitangan sepatutnya bercakap dalam bahasa Mandarin.

Wanita itu berkata: “Bila saya cuba berkomunikasi dengannya, dia asyik bercakap dalam bahasa Inggeris. Saya orang Cina. Kenapa dia asyik bercakap bahasa Inggeris? Macam mana orang yang bekerja dalam penerbangan antarabangsa tidak boleh bercakap Mandarin asas? industri perkhidmatan jenis apa ini?” soalnya.

Seorang lagi kakitangan kemudian datang dan bercakap dengannya dalam bahasa Mandarin.
Wanita tersebut kemudiannya mempersoalkan mengapa dia diminta turun dari pesawat dan menuntut pampasan atas gangguan terhadap perjalanannya.

Pihak kru menjelaskan dia telah mengganggu penerbangan, namun wanita itu meminta penjelasan lanjut mengenai undang-undang yang telah dilanggarnya.

Dia terus menuntut penyelesaian sambil enggan turun dari pesawat. Polis China kemudian dilihat memasuki pesawat.

Mereka menasihati wanita tersebut supaya bertenang dan meminta penumpang lain berhenti merakam.

Akhirnya, wanita itu dibawa keluar dari pesawat. Sebelum beredar, dia sempat meminta penumpang yang merakam insiden tersebut untuk menghantar video itu kepadanya sebagai bukti.

Sumber: Mothership

Related Articles

Back to top button