Kontroversi Libatkan Abang, Jisoo Akhirnya Bersuara

Jisoo dari BLACKPINK akhirnya bersuara mengenai kontroversi melibatkan ahli keluarganya melalui agensinya, dengan menegaskan dia tidak terlibat dalam isu tersebut.
Pada 20 April, agensi Jisoo iaitu BLISSOO mengeluarkan kenyataan rasmi melalui wakil guaman mereka, Kim & Chang, yang menjelaskan isu tular dalam talian itu tidak mempunyai kaitan dengan artis tersebut mahupun pihak agensi.
Dalam kenyataan tersebut, pihak guaman menjelaskan Jisoo telah lama hidup berdikari sejak zaman bergelar pelatih dan tidak mempunyai sebarang penglibatan atau pengetahuan mengenai kehidupan peribadi individu berkenaan.
“Walaupun artis mungkin pernah menerima nasihat terhad daripada ahli keluarga pada peringkat awal penubuhan syarikat, tiada seorang pun ahli keluarga menerima sebarang bayaran atau terlibat dalam proses membuat keputusan,” ujar kenyataan tersebut.
Agensi itu turut menafikan dakwaan ahli keluarga Jisoo terlibat dalam pengurusan atau operasi BLISSOO.
Kenyataan sama turut menegaskan, syarikat tersebut diuruskan secara bebas tanpa penglibatan keluarga.
Selain itu, Jisoo mahupun BLISSOO tidak pernah memberikan sebarang sokongan kewangan atau undang-undang kepada individu tersebut, dan tidak merancang untuk berbuat demikian.
Dakwaan bahawa individu itu adalah pengasas bersama atau memegang jawatan dalam syarikat juga dinafikan sepenuhnya.
Pihak agensi turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyebaran maklumat tidak sahih dan spekulasi yang mengaitkan artis itu dengan insiden tersebut, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap hak dan reputasinya.
Wakil guaman memberi amaran bahawa tindakan undang-undang tegas, termasuk tindakan sivil dan jenayah, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan kandungan berniat jahat seperti fitnah, penyalahgunaan nama atau imej artis, serta laporan spekulatif tanpa pengesahan fakta.
Kenyataan itu diakhiri dengan pendirian tegas bahawa tiada sebarang kelonggaran atau penyelesaian akan diberikan kepada individu yang berulang kali atau dengan sengaja menyebarkan maklumat palsu.
Kontroversi itu bermula selepas laporan mengenai seorang lelaki berusia lingkungan 30-an, dikenali sebagai “A”, yang ditahan atas dakwaan gangguan seksual terhadap seorang penstrim wanita. Spekulasi kemudian timbul dalam talian yang mengaitkan individu tersebut sebagai abang kepada Jisoo, mendorong pihak agensi untuk tampil memberikan penjelasan.
Sumber: Allkpop



