“Liza Hanim Cari Publisiti Murahan”

Penyanyi, Ameng, 58, tampil memberi reaksi terhadap kenyataan rakan seindustri, Liza Hanim yang sebelum ini meluahkan rasa terkilan susulan komen dibuatnya dalam satu sesi siaran langsung di media sosial.
Pemilik nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, berpendapat kenyataan Liza itu seolah-olah cuba meraih perhatian dengan mengaitkan dirinya, walaupun dia tidak menyebut mana-mana nama secara spesifik.
“Liza sebenarnya nak cari publisiti murahan dan tumpang glamor saya. Dia dah tak ada modal lain. Dalam sesi live itu, saya cakap jangan harapkan kemenangan. Kadang-kadang kemenangan tidak menjanjikan apa-apa.
“Saya sendiri selalu kalah dalam pertandingan sejak tahun 1989 lagi. Tapi saya tetap popular. Yang menang pun belum tentu popular. Tetapi saya tak cakap tentang TTMM1 dan Marsya Qistina.
“Walaupun orang kata dia tak sebut nama, tetapi dia petik penyanyi senior. Siapa lagi penyanyi senior yang buat live dalam TikTok? Sayalah orang itu,” katanya.
Tambah vokalis kumpulang Spring itu, Liza tidak sepatutnya melatah dengan kenyataan tersebut, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membangunkan kerjaya anaknya.
“Dia tak perlu nak melatah dengan kenyataan saya. Tak perlu menyalak menyalahkan orang lain. Apa yang dia perlu lakukan adalah buktikan anaknya seorang juara. Dia menang dapat duit RM30,000 tapi dia pergi melancong. Patutnya pergi cari Melly Goeslaw buat lagu anak dia,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ameng turut mendedahkan dia telah menghubungi Liza bagi menjelaskan perkara tersebut, namun perbualan mereka dilihat tidak mencapai kata sepakat.
“Saya paling marah bila dia kata berhati-hati jaga mulut. Saya hantar mesej kepadanya minta dia yang jaga mulut dia bukan mulut orang. Kemudian dia balas kalau dia tutup saya pun kena tutup. Dia cuba untuk berlawan.
“Apa yang saya boleh katakan jangan cuba jolok sarang tebuan. Dengan orang lain kau boleh. Tetapi dengan aku, aku nasihat kau jangan. Saya boleh jadi huru-hara. Saya tak kisah. Saya berani kerana benar,” ujarnya lagi.
Ameng turut menegaskan dia tidak melihat keperluan untuk mana-mana pihak memohon maaf dalam isu tersebut, sebaliknya mencabar agar kejayaan dibuktikan melalui hasil kerja.
“Tak perlu semua itu. Apa yang dia perlu lakukan saya cabar dia buktikan satu hari nanti Marsya akan jadi penyanyi yang meletup,” tegasnya.
Terdahulu, Liza meluahkan rasa kurang senang terhadap kenyataan seorang artis senior yang didakwa memberi bayangan bahawa kemenangan dalam pertandingan tidak menjamin kejayaan dalam industri.



