Kes Pengesahan Lafaz Rujuk Belum Selesai, Adira Dakwa Datuk Red Minta RM100,000

Kemelut antara penyanyi Adira Suhaimi dan bekas suaminya, Datuk Seri Adnan Abu terus berlarutan apabila kes pengesahan lafaz rujuk yang difailkan di mahkamah masih belum menemui penyelesaian.
Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada Khamis sekali lagi ditangguhkan ke 25 Jun depan, sekali gus memanjangkan lagi konflik antara kedua-dua pihak.
Adira meluahkan rasa terkilan apabila kes tersebut yang difailkan sejak Disember tahun lalu masih belum selesai seperti diharapkan. Malah, dia mendakwa terkejut apabila bekas suaminya mengemukakan beberapa syarat untuk membatalkan kes pengesahan rujuk tersebut.
Menurutnya, antara syarat yang didakwa dikemukakan ialah dia perlu menggugurkan saman sivil berkaitan tuntutan hutang selain membayar wang tunai sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun, Adira menolak tuntutan tersebut kerana menganggapnya tidak munasabah, apatah lagi dia kini perlu menyara empat orang anak sendiri.
Pelantun lagu Ombak Rindu itu juga menjelaskan saman sivil yang difailkan sebelum ini melibatkan pinjaman wang berjumlah ratusan ribu ringgit yang didakwa belum dilunaskan oleh bekas suaminya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Red tampil menafikan dakwaan tersebut. Dia menegaskan tidak pernah meletakkan sebarang syarat termasuk tuntutan RM100,000 seperti yang didakwa.
Menurutnya, tujuan utama memfailkan kes pengesahan lafaz rujuk hanyalah untuk mendapatkan kepastian dari sudut hukum syarak mengenai status hubungan mereka, bukannya untuk “berjual beli” atau mengambil kesempatan.
Malah, Datuk Red turut menjelaskan tidak berhasrat untuk kembali hidup sebagai suami isteri bersama Adira dan bersedia untuk berpisah semula sekiranya rujuk tersebut disahkan sah oleh mahkamah.
Imbas kembali, mereka mendirikan rumah tangga pada Disember 2015 sebelum bercerai pada April 2024 dan dikurniakan empat cahaya mata.



