Global

Influencer 70K Pengikut Dikecam Minta Tajaan Percuma Untuk Majlis Kahwin

Seorang influencer makanan dari Hong Kong berdepan kecaman selepas didakwa meminta pelbagai vendor perkahwinan untuk memberikan perkhidmatan percuma serta kolaborasi berbayar bagi majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung.

Menurut portal Feminine, influencer wanita tersebut yang mempunyai sekitar 70,000 pengikut di platform seperti Instagram, Threads dan Xiaohongshu, dilaporkan menghantar mesej terus kepada jurugambar, butik pengantin dan jurusolek.

Tidak hanya meminta tajaan, dia turut menyertakan kadar bayaran (rate card) terperinci untuk kandungan promosi di platformnya.

Berbeza dengan persiapan perkahwinan biasa, pendekatan influencer tersebut dilihat lebih menjurus kepada peluang komersial, dengan menetapkan caj tertentu untuk pendedahan di media sosial termasuk hantaran feed dan Instagram Stories.

Tindakan ini tidak disenangi ramai dalam industri perkahwinan, dengan sebahagian vendor mempersoalkan sama ada ia benar-benar sebuah majlis atau sekadar ‘pitch’ perniagaan.

Apabila kontroversi ini semakin tular, lebih ramai pemilik perniagaan tampil berkongsi pengalaman mereka.

Seorang pengusaha restoran mendakwa influencer tersebut pernah datang untuk sesi rasa makanan, memesan hidangan mahal dan kemudian meminta agar bil tersebut dikecualikan.

Ulasan makanannya juga dikritik kerana kurang mendalam, dengan ada yang menuduh dia menggunakan platformnya semata-mata untuk mendapatkan makanan percuma.

Reaksi dalam talian kebanyakannya negatif, dengan netizen mempersoalkan tahap pengaruh yang dianggap tidak sepadan dengan tuntutan yang dibuat.

Ada yang mempertikaikan sama ada jumlah 70,000 pengikut cukup untuk menyokong permintaan tersebut, manakala yang lain mengkritik idea mencari tajaan untuk majlis perkahwinan di luar kemampuan sendiri.

Related Articles

Back to top button