Global

Abang Jisoo BLACKPINK Disiasat Atas Dakwaan Keganasan Rumah Tangga, Kakak Ipar Pesan Jangan Serang Ahli Keluarga

Abang kepada Jisoo BLACKPINK, Kim Jung Hoon, kini dalam siasatan polis susulan beberapa dakwaan serius termasuk serangan seksual dan penderaan rumah tangga terhadap dirinya.

Bermula dengan tuduhan yang dibuat oleh seorang pensriman wanita, kes menjadi semakin serius apabila isteri Jung Hoon tampil membuat dakwaan terperinci mengenai penderaan fizikal dan emosi yang dialami.

Setakat ini, pihak berkuasa sedang menyiasat dakwaan serangan seksual serta ugutan untuk menyebarkan imej yang diambil secara tidak sah.

Menurut laporan Koreaboo, Jung Hoon sebelum ini ditahan atas dakwaan menyerang seorang penstrim wanita. Siasatan kemudian diperluaskan selepas muncul laporan bahawa dia bersama seorang individu lain, dikenali sebagai “Mr A”, didakwa memeras ugut mangsa.

Pihak berkuasa juga sedang menyiasat dakwaan yang mengatakan mereka mengugut untuk menyebarkan gambar tubuh mangsa yang diambil tanpa kebenaran bagi memastikan mangsa berdiam diri.

Kontroversi ini semakin memuncak apabila seorang pengguna dalam talian yang mendakwa dirinya sebagai isteri Jung Hoon memuat naik kenyataan bertulis tangan serta bukti kecederaan dalam bentuk gambar.

Dalam pendedahannya, wanita itu mendakwa wujud corak ‘kawalan melampau’, keganasan fizikal dan penderaan berulang dalam perkahwinan mereka.

Wanita itu turut mendakwa dirinya sentiasa dipantau, termasuk telefon bimbitnya diakses tanpa kebenaran ketika tidur, dengan gambar dipadam dan profil aplikasi diubah.

Menurutnya, interaksi sosialnya turut dipantau, hanya dibenarkan berhubung dengan rakan wanita dan tidak boleh berkomunikasi dengan individu yang dianggap ancaman oleh suaminya.

Dia juga mendakwa pergerakannya dihadkan, hanya dibenarkan ke tempat tertentu seperti kedai runcit atau klinik selain penampilan dirinya turut dikawal.

Bahagian paling serius dalam dakwaan tersebut melibatkan tuduhan hubungan intim secara paksa dalam perkahwinan, yang menurutnya memberi kesan kepada kesihatan fizikalnya.

Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keseluruhan pertuduhan, namun siasatan masih dijalankan.

Fokus utama kini adalah terhadap kes awal melibatkan penstrim wanita, dakwaan rakaman tidak sah dan ugutan serta tuduhan penderaan rumah tangga yang dikemukakan oleh isterinya.

Dalam perkembangan lain, wanita yang mendakwa dirinya sebagai isteri Jung Hoon berpesan supaya tidak menyerang Jisoo dengan dakwaan tidak berasas.

“Dia (Jisoo) tidak tahu apa-apa, jangan serang dia. Individu yang bersalah adalah lelaki itu (Jung Hoon).

“Tetapi saya berharap jangan tinggalkan kata-kata negatif terhadap ahli keluarganya. Adiknya mungkin tidak tahu apa-apa,” kata wanita itu menerusi Instagram Story.

Related Articles

Back to top button