Berita

Nash Selesai Jalani Pembedahan Akibat Serangan Jantung

Penyanyi rock legenda, Datuk Nash dilaporkan selamat menjalani pembedahan selepas dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang akibat serangan jantung yang dialaminya pada Selasa.

Perkembangan terkini mengenai keadaan Nash dimaklumkan oleh Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid yang menerima berita tersebut daripada anak penyanyi berkenaan, Shameer.

Menurut Ayob, Nash segera dibawa ke hospital sebaik mengalami serangan jantung sebelum doktor mengambil keputusan melakukan pembedahan kecemasan.

“Saya dimaklumkan oleh anaknya bahawa Nash diserang sakit jantung pagi tadi dan terus dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah.

“Alhamdulillah, beliau selamat menjalani pembedahan dan keadaannya kini dilaporkan stabil. Namun, buat masa ini beliau belum dibenarkan menerima sebarang pelawat,” katanya.

Tambah Ayob, hasil pemeriksaan lanjut mendapati keadaan jantung Nash agak serius apabila terdapat penyumbatan yang tinggi pada saluran darahnya.

“Menurut Shameer, sekitar 80 peratus saluran jantungnya tersumbat, jadi memang memerlukan tindakan segera.

“Syukur, prosedur pembedahan berjaya dilakukan dengan baik petang tadi,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Ayob turut mengajak orang ramai untuk sama-sama mendoakan agar penyanyi berkenaan diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala.

“Marilah kita doakan agar beliau cepat sembuh, dipermudahkan segala urusan dan kembali sihat untuk terus berkarya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Related Articles

Back to top button