“Saya & Ameng Tiada Masalah, Nanti Anak Nak Kahwin Dia Juga Yang Jadi Wali”

Penerbit terkenal, Datuk A Aida menegaskan dirinya tidak mempunyai sebarang masalah mahupun menyimpan dendam terhadap bekas suami yang juga penyanyi, Ameng.
Menurut pemilik nama sebenar Zaidah Awang, mereka tidak pernah mempunyai sebarang masalah, malah tetap saling menghormati dan menjalankan peranan masing-masing sebagai ibu dan bapa.
“Saya dan Ameng tiada sebarang masalah. Apa pun yang berlaku, dia tetap ayah kepada anak-anak saya.
“Malah, nanti kalau anak-anak berkahwin, dia juga akan menjadi wali. Jadi, hubungan kami tetap profesional dan baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, momen istimewa apabila mereka berkongsi pentas bersama dalam program Talk To My Manager 2 baru-baru ini menjadi satu kenangan bermakna buat keluarga tersebut.
A Aida berkongsi bahawa idea menampilkan Ameng bersama anak mereka, Azeva Natassha, sebenarnya sudah dirancang lebih awal bagi persembahan minggu pengenalan.
Katanya, perancangan itu dibuat bagi memberi kelainan selain memperkenalkan bakat Azeva yang bukan sahaja mampu menyanyi, malah mahir bermain gitar.
“Saya memang mahu perkenalkan Azeva kepada umum, termasuk kebolehannya bermain gitar. Tambahan pula, dia adalah anak kepada Ameng Spring.
“Bila saya bayangkan konsep persembahan itu, saya minta anak sulung saya, Wan Az Aleesa untuk berbincang dengan Ameng kerana dia lebih rapat dengan ayahnya,” katanya.
Tambahnya lagi, perpisahan mereka ketika Azeva masih kecil menyebabkan anaknya itu tidak berpeluang merasai sepenuhnya kasih sayang seorang ayah.
“Saya rasa sejak bercerai, kami memang tidak pernah berada di satu pentas bersama. Ini kali pertama kami tampil bersama sebagai satu keluarga di pentas,” ungkapnya.
Azeva mengakui berasa terharu kerana impiannya untuk berkongsi pentas bersama bapanya akhirnya menjadi kenyataan.
“Ini kali pertama saya dapat buat persembahan dengan ayah. Memang rasa sebak dan gembira.
“Lebih bermakna apabila dapat melihat ayah dan ibu berada di pentas yang sama. Itu memang impian saya sejak dulu.
“Papa selalu pesan supaya jaga pernafasan dan bermain dengan emosi ketika menyanyi. Dia kata sebagai penyanyi rock, saya perlu faham gaya itu.
“Mama pula banyak membantu saya dalam lakonan. Saya bersyukur kerana kedua-duanya banyak membimbing saya,” katanya.
Untuk rekod, Ameng mendirikan rumah tangga dengan A Aida pada 1993 sebelum berpisah pada 2004.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Azeva Natassha dan Wan Az Aleesa yang dibesarkan oleh A Aida selepas perceraian.



