Aishah Ubat Rindu Peminat Julai Ini

Legenda seni suara tanah air, Datuk Aishah bakal mencipta satu lagi detik bersejarah menerusi penganjuran konsert solo berskala besar bertajuk Aishah 40 Chapters of Love yang dijadual berlangsung pada 4 Julai depan bertempat di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Konsert anjuran Vox Nation Live itu merupakan konsert solo berskala besar pertama buat penyanyi berkenaan, sekali gus menjadi simbolik kepada perjalanan seni beliau selama empat dekad dalam industri muzik tempatan.
Mengangkat tema perjalanan hidup dan cinta melalui muzik, konsert berkenaan dijangka membawa penonton menyelusuri setiap bab dalam karier seni Aishah menerusi rangkaian lagu malar segar yang dekat di hati peminat.
Pastinya seleksi lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Janji Manismu, Camar Yang Pulang, Kemaafan Dendam Yang Terindah – yang pastinya mengembalikan nostalgia kepada peminat setianya.
Menjelang konsert tersebut, Aishah kini giat melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal bagi memastikan persembahan terbaik dapat diberikan kepada peminat.

“Konsert ini adalah hadiah saya buat semua peminat setia yang telah bersama saya selama ini. Saya tidak sabar untuk kembali ke pentas dan berkongsi momen istimewa bersama anda semua.
“Saya harap setiap lagu yang dipersembahkan nanti akan mengimbau kenangan dan menyentuh hati, menjadikan malam itu satu kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang menyifatkan penganjuran konsert tersebut sebagai satu penghormatan kepada legasi seni seorang ikon negara.
“Beliau adalah nama yang membentuk sejarah muzik Malaysia. Konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi satu pengalaman yang akan menyentuh emosi penonton dari awal hingga akhir.
“Kami mahu peminat merasai setiap detik, setiap lagu dan setiap kenangan yang dibawa ke pentas,” jelasnya.
Tiket bagi konsert berkenaan mula dijual sejak 17 April lalu dengan harga bermula daripada RM168 hingga RM788 mengikut kategori tempat duduk yang ditawarkan.



