Acu Parang Sebab Kakak Tak Kejutkan Bangun Tidur, Lelaki Didenda RM2,500

Seorang lelaki didenda oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu selepas mengaku bersalah mengacukan parang terhadap kakak kandungnya dalam keadaan marah.
Menurut Harian Metro, tertuduh, Zainul Ariffin Mohd Jaid, didakwa melakukan ugutan jenayah di sebuah rumah di Sri Merlong, Rengit kira-kira jam 1.40 petang pada Ahad, 1 Mac lalu.
Berdasarkan fakta kes, kakak tertuduh mendapati keadaan rumah bersepah dan menyedari adiknya berada dalam keadaan marah ketika itu.
Apabila dia menegur Zainul kerana membuat sepah serta merosakkan beberapa barangan di dalam rumah, tertuduh menjadi lebih berang kerana kakaknya gagal mengejutkannya daripada tidur untuk menghantar ibu mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan diabetes.
Namun, kakaknya mempertahankan diri dengan menjelaskan bahawa dia telah cuba mengejutkan Zainul beberapa kali tetapi tidak berjaya.
Mendengar penjelasan itu, Zainul bertindak menghunus parang dan mengugut dengan berkata: “Jangan buat saya hilang kawalan; kalau saya hilang kawalan, saya boleh buat apa sahaja.”
Zainul didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selepas mengambil kira pengakuan bersalah, rayuan pengurangan hukuman serta hujahan pihak pendakwaan, Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,500 terhadap tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Firdaus Ruslan, manakala Zainul tidak diwakili peguam.



