Pelakon & Suami Direman Kes Penipuan Jual Tanah RM1.5 Juta

Seorang pelakon wanita yang pernah membintangi drama popular ‘Nur’ bersama suaminya telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi permohonan reman berhubung dakwaan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia.
Pasangan berkenaan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penipuan yang dipercayai membabitkan kerugian kira-kira RM1.5 juta.
Ketika diiring masuk ke perkarangan mahkamah oleh pihak polis, pelakon wanita tersebut sempat menitipkan pesanan ringkas kepada pengamal media yang hadir.
“Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, pasangan suami isteri berkenaan yang masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an ditahan di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Hulu Langat, Selangor pada Rabu.
Beliau berkata, kedua-dua mereka kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah membenarkan perintah reman selama tiga hari terhadap pasangan terbabit. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, polis turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus serta menasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan di media sosial.
Difahamkan, mangsa kes berkenaan merupakan seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga pesara ahli perniagaan dan sebelum ini berpengalaman dalam sektor pembangunan hartanah.
Mangsa dipercayai telah terpedaya dengan tawaran daripada seorang individu yang menawarkan peluang untuk mendapatkan beberapa lot tanah di Selangor.
Menurut laporan, pada 21 September 2023 mangsa didakwa ditawarkan untuk memperoleh tanah yang terletak di bawah Mukim Cheras dengan janji ia merupakan tanah berstatus kurniaan kerajaan negeri Selangor.
Susulan tawaran tersebut, pengadu kemudian mula berurusan dengan suspek dan melakukan beberapa transaksi bayaran bagi tujuan mendapatkan lot tanah yang dijanjikan.



