Sandara Park Nafi Dakwaan Dadah Oleh Park Bom

Penyanyi dan anggota kumpulan 2NE1, Sandara Park menafikan dakwaan penyalahgunaan dadah yang dibuat terhadapnya oleh Park Bom baru-baru ini.
Sandara menafikan dakwaan tersebut menerusi kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh wakilnya.
“Dakwaan ini tidak berasas dan Sandara Park bimbang terhadap keadaan kesihatan semasa Park Bom,” ujar kenyataan itu.
Dalam masa sama, seorang kenalan rapat Sandara Park memberitahu The Fact yang dakwaan dadah yang dibangkitkan oleh Park Bom adalah tidak berasas sama sekali.
Terdahulu, Park Bom yang juga anggota kumpulan 2NE1 memuat naik sepucuk surat tulisan tangan di media sosialnya.
Menerusi surat itu, Park Bom mendakwa Sandara pernah ditangkap akibat penyalahgunaan dadah dan menjadikan dirinya sebagai ‘kambing hitam’.
“Saya perlu bercakap tentang perkara yang sensitif dan menakutkan. Sandara Park ditangkap menggunakan dadah, dan untuk menutup perkara itu, dia menjadikan saya seolah-olah pengguna dadah.
“Adderall bukan dadah. Saya pesakit ADD (Attention Deficit Disorder). Ketika itu, Adderall tidak tersedia di negara kami dan undang-undang mengenainya juga belum wujud.
“Jangan laporkan kepada pihak berkuasa bahawa saya menggunakan dadah melebihi dos yang ditetapkan, yang YG, Yang Hyun Suk, Teddy dan CL tidak gunakan selama hampir 30 tahun,” tulisnya.
Sebelum ini, pada Oktober 2010, Park Bom pernah menjadi perhatian selepas mengimport Adderall (bahan terkawal di Korea Selatan) dari Amerika Syarikat (AS) tanpa pengisytiharan kastam.
Walaupun Adderall mengandungi amfetamin yang diklasifikasikan sebagai bahan psikotropik terkawal, Park Bom diberikan penangguhan pendakwaan selepas mengemukakan rekod perubatan serta preskripsi yang membuktikan ia diimport bagi tujuan rawatan sah.
Secara berasingan, pada 2025, Park Bom turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan peminat berhubung isu penyelesaian bayaran dengan YG Entertainment. Ketika itu, dia memfailkan saman dengan menamakan penerbit eksekutif YG Entertainment, Yang Hyun Suk, sebagai defendan, bersama tuntutan kewangan yang sangat besar sehingga mencetuskan kontroversi. Agensinya, D-NATION, kemudian menjelaskan bahawa penyelesaian bayaran aktiviti 2NE1 Park Bom telah pun diselesaikan.



