Music

D’Masiv Kini Bergerak Secara Sendiri, Rian Kongsi Cabaran Urus Label Sendiri

Kumpulan popular Indonesia, D’Masiv, mencuri perhatian apabila mengumumkan mereka kini bergerak secara independent dalam perjalanan karier muzik mereka. 

Vokalisnya, Rian Ekky Pradipta, berkongsi pengalaman baharu menguruskan sendiri segala keperluan kumpulan tanpa penglibatan label rakaman besar.

Menurut Rian, banyak perkara berubah dari segi teknikal dan kreatif sejak mereka memilih untuk berdiri atas usaha sendiri. 

Walaupun mengakui perjalanan sebagai artis independent bukan sesuatu yang mudah, beliau berkata mereka tetap menikmati setiap proses yang dilalui.

“Perbezaannya sekarang kami urus semuanya sendiri. Kami jadi lebih faham tentang kos dan pengurusan. 

“Rupanya bukan mudah untuk bergerak secara independent, tetapi kami menikmati proses ini,” katanya seperti dilaporkan Liputan 6.

Rian turut menjelaskan bahawa keputusan tersebut membuka lebih banyak ruang untuk mereka bereksperimen dalam aspek persembahan pentas, visual dan pencahayaan agar tampil lebih segar dan tersusun.

“Selepas bergerak sendirian, kami rasa lebih bebas untuk bereksplorasi. Dari aksi pentas, visual hinggalah pencahayaan, semuanya akan tampil dengan konsep yang lebih menarik,” tambahnya.

Keputusan keluar daripada zon selesa itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana D’Masiv kini perlu menguruskan keseluruhan operasi kumpulan secara sendiri. 

Dalam masa sama, Rian turut mendedahkan perancangan besar mereka untuk mempromosikan karya terbaharu menerusi siri jelajah Asia.

Selepas melancarkan single baharu, D’Masiv merancang untuk mengadakan konsert di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Singapura, Taiwan dan Hong Kong sebelum kembali membuat persembahan di Indonesia.

Menurut Rian, mereka juga bercadang untuk lebih aktif menyertai festival muzik antarabangsa selepas pelancaran album baharu pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa langkah menjadi artis independent dibuat demi memiliki hak penuh terhadap karya sendiri. Katanya, memiliki hak master lagu memberikan kepuasan yang sukar digambarkan.

“Kali ini kami memiliki sendiri master lagu kami. Semua kos termasuk pembikinan video muzik ditanggung sendiri. Memang bukan mudah memiliki label sendiri, tetapi pengalaman ini sangat menyeronokkan dan kami benar-benar menikmatinya,” ujarnya.

Foto Liputan 6

Related Articles

Back to top button