Berita

Rapid KL Bakal Benarkan Bayaran Kad Kredit, Apple Pay Di Pintu Masuk MRT & LRT

Prasarana Malaysia Berhad mengesahkan sedang dalam usaha pelaksanaan sistem pembayaran terbuka bagi perkhidmatan rel dan bas Rapid KL.

Sistem tersebut akan membolehkan pengguna menggunakan kad kredit, kad debit, pembayaran QR serta dompet digital seperti Apple Pay dan Samsung Pay untuk perjalanan mereka.

Ketika ini, perkhidmatan tren Rapid KL masih menggunakan sistem kutipan tambang automatik sedia ada yang berasaskan platform Touch ‘n Go.

Hal ini bermaksud, pengguna masih perlu menggunakan kad Touch ‘n Go atau membeli token perjalanan tunggal di mesin tiket atau kaunter stesen untuk masuk dan keluar dari stesen.

Walaupun penumpang boleh menggunakan wang tunai, kad kredit atau kad debit di mesin tiket dan kaunter, ia hanya untuk membeli token atau tambah nilai kad Touch ‘n Go, bukannya untuk terus ‘tap’ di pintu masuk tambang.

Pembayaran kod QR juga sudah tersedia di kaunter stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT, namun masih belum boleh digunakan sebagai pilihan ‘tap in’ dan ‘tap out’ secara terus.

Bagi perkhidmatan bas Rapid KL pula, penumpang ketika ini hanya boleh menggunakan kad Touch ‘n Go atau kad RapidKL dengan baki minimum RM3 kerana bayaran tunai sudah tidak diterima lagi.

Sementara itu, Rapid KL On-Demand sudah menawarkan lebih banyak pilihan pembayaran termasuk kad Touch ‘n Go, DuitNow QR, kad debit, kad kredit dan e-wallet melalui sistem tempahan aplikasi.

Begitupun, Prasarana Malaysia Berhad berkata, kad kredit, kad debit serta dompet digital seperti Apple Pay, Google Pay dan Samsung Pay masih belum boleh digunakan secara terus untuk ‘tap in’ dan ‘tap out’ bagi perkhidmatan rel dan bas.

Menurut Prasarana Malaysia Berhad, projek sistem pembayaran terbuka itu kini berada di peringkat akhir proses penganugerahan projek.

Selepas dilaksanakan nanti, pengguna akan dapat menggunakan kad kredit dan kad debit untuk perjalanan yang lebih lancar, manakala sokongan bagi dompet digital dijangka diperkenalkan secara berperingkat.

Kemudahan pembayaran QR juga akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan sistem tersebut untuk perkhidmatan rel dan bas.

Menurut Prasarana lagi, selepas projek dianugerahkan, kira-kira 30 peratus pintu masuk tambang rel dijangka menyokong sistem pembayaran terbuka dalam tempoh 12 bulan.

Pelaksanaan penuh untuk perkhidmatan rel pula disasarkan siap dalam tempoh 30 bulan.
Bagi perkhidmatan bas Rapid KL di Lembah Klang, pelaksanaan penuh dijangka mengambil masa sekitar 15 bulan.

Buat masa ini, Touch ‘n Go masih kekal sebagai kaedah utama untuk menggunakan perkhidmatan Rapid KL, namun pengguna boleh menantikan lebih banyak pilihan pembayaran fleksibel dalam masa terdekat termasuk kad bank, pembayaran QR dan dompet digital.

Related Articles

Back to top button