Momen Menyentuh Hati, Pemuda Bantu Warga Emas Jalan Kaki Balik Rumah

Seorang lelaki menerima pujian daripada netizen selepas tampil membantu seorang warga emas yang dilihat berjalan kaki pulang bersendirian dari pasar di Johor.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Threads yang memaparkan detik-detik kejadian tersebut.
Menerusi video yang dimuat naik, individu berkenaan dilihat memberhentikan keretanya di tepi jalan sebelum bertanya kepada pakcik tersebut ke mana dia mahu pergi.
Selepas mengetahui warga emas itu sedang menuju ke Taman Seri Austin, lelaki tersebut terus mempelawanya menaiki kereta kerana dia juga menuju ke arah yang sama.
Sepanjang perjalanan, mereka sempat berbual dan lelaki itu bertanya mengapa pak cik tersebut berjalan kaki pulang ke rumah.
Warga emas itu kemudian menjelaskan bahawa rakannya hanya menghantarnya ke pasar sebelum itu.
Dia turut berkongsi bahawa isterinya mengalami kesukaran untuk berjalan, manakala anak-anaknya pula bekerja di luar Johor.
Apabila mereka menghampiri kawasan rumah warga emas tersebut, pak cik itu meminta supaya dia diturunkan sahaja di tepi jalan dan akan berjalan pulang sendiri.
Namun, lelaki itu berkeras mahu menghantarnya terus sehingga ke depan rumah.
Sebaik tiba, dia turut sempat berseloroh tentang betapa besarnya rumah warga emas tersebut.
Sebelum turun dari kereta, pak cik berkenaan mengucapkan terima kasih atas kebaikan lelaki itu sambil berjabat tangan dengan erat.
Di penghujung video, lelaki tersebut turut menyeru orang ramai supaya membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa dan tidak menilai seseorang berdasarkan penampilan luaran semata-mata.



