Peniaga Nasi Bajet Rugi RM2,000 Selepas Disamun ‘Pelanggan’ Palsu

Seorang peniaga nasi bajet di Ipoh mengalami kerugian sekitar RM2,000 selepas dua lelaki didakwa mencuri peti wang dan telefon bimbit miliknya ketika berpura-pura membeli makanan.
Kejadian itu berlaku di sebuah gerai nasi bajet di Lebuh Meru Raya, Ipoh dua hari lalu.
Menurut Kosmo!, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang berusia 21 tahun pada hari yang sama.
Ketika kejadian, mangsa sedang menguruskan gerainya dan membungkus makanan apabila dua lelaki tiba menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
Dua suspek tersebut didakwa menghampiri gerai berkenaan seperti pelanggan biasa untuk membeli makanan.
Namun ketika peniaga itu sibuk membungkus nasi, suspek mengambil kesempatan mencuri peti wang yang mengandungi wang tunai serta telefon bimbit miliknya.
Mereka kemudian melarikan diri menaiki motosikal menuju ke arah Bulatan Meru Raya. Jumlah kerugian yang dialami mangsa dianggarkan sekitar RM2,000 melibatkan wang tunai dan telefon bimbit tersebut.
Kes itu kemudian mendapat perhatian di media sosial selepas rakaman siaran langsung TikTok ketika kejadian dimuat naik secara online.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan oleh individu asal, dia mendakwa kejadian berlaku di gerai ibunya iaitu Nasi Bajet Yanti di Meru, Ipoh.
Dia turut meminta orang ramai khususnya penduduk sekitar kawasan tersebut membantu mengenal pasti dua lelaki yang terlibat.
Pihak polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



