Film

Rangka Skim Wajib Tayang 3.0 Di Fasa Akhir, FINAS Optimis Tangani Isu Pawagam

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kini berada di peringkat akhir bagi memuktamadkan Skim Wajib Tayang 3.0 yang dijangka lebih fleksibel dan relevan dengan keperluan semasa industri perfileman tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, draf dasar baharu itu sedang diperhalusi sebelum dibentangkan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk mendapatkan kelulusan rasmi, selain memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan operasi pengusaha pawagam.

“Kita sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pengusaha pawagam dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM).

“Polisi baharu ini akan selari dengan peraturan-peraturan di bawah Akta FINAS yang dijangka diperkenalkan tahun ini,” katanya selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Fahmi bersama ketua-ketua pegawai eksekutif pawagam Malaysia di Menara Maxis pada Khamis.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Teo Nie Ching, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac serta Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Datuk Afdlin Shauki.

Mengulas mengenai prestasi industri pawagam, Datuk Azmir Saifuddin berkata terdapat jurang ketara antara kejayaan kutipan filem tempatan dengan jumlah keseluruhan kehadiran penonton ke pawagam.

Menurut beliau, walaupun lima hingga enam filem tempatan berjaya mencatat kutipan pecah panggung melebihi RM10 juta tahun ini, industri pawagam secara keseluruhannya masih berdepan cabaran untuk terus bertahan selepas pandemik COVID-19.

“Terdapat pengusaha masih bergelut untuk melunaskan beban pinjaman yang diambil bagi mengekalkan operasi syarikat. Data daripada pihak pawagam menunjukkan trend penurunan penonton sekitar 16 peratus bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Antara faktor penyumbang adalah persaingan daripada platform penstriman digital serta tekanan situasi ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata, beban kewangan pengusaha pawagam turut meningkat berikutan kos pelaburan teknologi yang kini mencecah RM3 juta bagi pembinaan sebuah dewan pawagam baharu yang dilengkapi sistem bunyi Atmos serta paparan definisi tinggi (HD), berbanding sekitar RM1.5 juta sebelum ini.

Sehubungan itu, FINAS kini mempergiat usaha mengumpul data menyeluruh berkaitan impak industri pawagam termasuk kesan penutupan pawagam terhadap rantaian ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Apabila pawagam ditutup, kesan rantaiannya bukan sahaja kepada pekerja pawagam, malah rantaian pembekal seperti pembekal bertih jagung turut terjejas. Kita mahu melihat bagaimana industri ini memberi kesan kepada penciptaan peluang pekerjaan.

“Sektor pawagam ini mempunyai kesan berganda yang besar kepada pertumbuhan ekonomi. Apabila penonton ke pawagam di pusat beli-belah, mereka turut berbelanja untuk makan malam dan membeli-belah. Pawagam ialah ejen penarik kepada ekosistem itu,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Datuk Azmir Saifuddin berkata, semua data berkaitan impak ekonomi itu akan diperhalusi dalam masa terdekat sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sebagai cadangan insentif atau bantuan industri menjelang pembentangan belanjawan akan datang.

Related Articles

Back to top button