“Suruh Saya Buka Baju, VIP Tunggu Masuk Bilik”

Pelakon, Zara Zya, 40, mengakui pernah berdepan pelbagai pengalaman hitam sepanjang bergelar anak seni sehingga menyifatkan dunia hiburan mempunyai sisi gelap yang sukar dilupakan.
Pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, berkata dia pernah menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya ketika awal pembabitan dalam industri seni.
Menurutnya, dia hampir menjadi mangsa gangguan seksual apabila dipelawa menghadiri kononnya sesi perbincangan kerja sebelum lelaki terbabit mula menunjukkan niat sebenar.
“Pada mulanya dia kata mahu bincang mengenai kerja dan skrip pun sudah tersedia. Bila dia ajak pergi karaoke, saya ikut sebab terlalu mudah percaya orang waktu itu.
“Tetapi keadaan berubah apabila dia meminta kawan saya keluar dan menyuruh saya membuka baju. Saya terus cari alasan untuk keluar dari situ dan tidak kembali semula.
“Selepas kejadian itu, dia masih cuba mencari saya tetapi saya terus menyekat nombornya,” katanya menerusi satu temu bual.
Dalam masa sama, Zara turut mendedahkan satu lagi pengalaman menakutkan apabila dia diperdaya menghadiri sebuah pertemuan yang rupa-rupanya diatur untuk melayan golongan kenamaan (VIP).
Lebih mengecewakan, dakwanya, individu yang terlibat mengatur perkara tersebut juga merupakan rakan artis yang dikenalinya sendiri.
“Saya ingatkan sekadar makan-makan biasa, rupanya memang ada lelaki VIP yang menunggu untuk masuk ke bilik.
“Saya memang tidak mahu tetapi mereka juga enggan membawa saya keluar dari situ. Dia ingat saya sama macam dia.
“Lama juga saya cuba lepaskan diri. Saya tidak terus lari, sebaliknya beri alasan ada urusan dan keluar dari tempat itu. Situasi tersebut memang sangat menakutkan,” ujarnya.
Selain itu, Zara turut mendakwa pernah berdepan gangguan fizikal daripada beberapa individu dalam industri namun memilih untuk tidak memperbesarkan perkara berkenaan.
“Ada juga tawaran untuk membela diri tetapi saya tidak mahu terlibat sampai ke tahap itu.
“Walaupun melalui pelbagai jatuh bangun dalam industri, saya tetap memilih jalan yang baik.
“Ada artis yang terlalu menggatal dan cuba mengambil kesempatan terhadap saya, tetapi bila berjumpa sekarang mereka buat-buat tidak kenal atau mengelak,” katanya lagi.
Pada masa sama, Zara berharap perkongsiannya tidak disalah tafsir dan percaya sesiapa sahaja boleh terjerumus ke arah negatif sekiranya tidak bijak menjaga diri ketika berada dalam industri hiburan.



