Berita

Bersiaran Dari Merdeka 118, Hot FM Cipta Rekod Baharu ASEAN

Hot FM sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya menerima dua pengiktirafan rekod serentak daripada Asia Records dan ASEAN Records menerusi kategori “Highest Continuous Live Radio Broadcast from the World’s Second Tallest Building, Merdeka 118” sempena kempen istimewa #BekpesHotTaklukMerdeka118. 

Pencapaian ini sekaligus menjadikan Hot FM sebagai stesen radio pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan di peringkat ASEAN dan Asia bagi siaran langsung berterusan dari bangunan kedua tertinggi di dunia, Merdeka 118.

Pengarah Kandungan Media Prima Audio Kanan, Shah Hayatudin, berkata kempen Bekpes Hot Takluk Merdeka 118 bukan sekadar sebuah siaran luar biasa, tetapi satu pencapaian nasional yang meraikan semangat untuk terus mencabar batas dan membawa industri radio Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga apabila kandungan dan penyiaran tempatan berjaya dibawakan ke puncak bangunan tertinggi dan paling ikonik dalam negara. Bagi Hot FM, peluang untuk merealisasikan misi ini dari Merdeka 118 sememangnya satu pengalaman yang benar-benar berada di tahap tertinggi.”

“Hot FM sentiasa percaya dalam mencipta momen yang bukan sekadar didengari, tetapi akan diingati oleh pendengar. 

“Daripada memecahkan kebiasaan sehinggalah membawa seorang pendengar bertuah bersama-sama mendaki untuk meraikan hari lahirnya bersama kru Bekpes Hot, inilah pengalaman yang akan menjadi memori bermakna buat kami dan juga para pendengar,” kata Shah Hayatudin

Kejayaan bersejarah ini turut direalisasikan hasil kerjasama erat dan sokongan penuh daripada PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad selaku pemilik bangunan Merdeka 118 yang memainkan peranan penting dalam memastikan misi luar biasa ini berjaya dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

Bersiaran secara langsung pada Isnin bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi, misi luar biasa ini membawa pendengar mengikuti perjalanan Bekpes Hot menawan aras tertinggi Merdeka 118 bermula dari Level 118, ke Level 119, seterusnya menuju ke The Spire pada ketinggian 566 meter dari aras tanah. 

Pastinya ia dilihat sebagai simbolik kepada keberanian, cabaran dan semangat untuk terus berada di puncak.

Kempen ini memperlihatkan komitmen Hot FM dalam menghasilkan kandungan kreatif dan inovatif yang dekat dengan rakyat Malaysia.

Sepanjang misi berlangsung, pendengar disajikan dengan pelbagai momen mendebarkan bersama barisan penyampai Bekpes Hot iaitu Khairy Jamaluddin, Johan, Fara Fauzana dan AG yang bersiaran secara langsung dari beberapa lokasi berbeza di puncak bangunan ikonik tersebut.

#BekpesHotTaklukMerdeka118 juga merupakan kesinambungan kepada pelbagai misi ekstrem yang pernah dilaksanakan Hot FM sebelum ini termasuk siaran dari dalam ETS, pendakian Gunung Kinabalu, siaran bawah laut serta kayuhan sejauh 420 kilometer dari Alor Setar ke Shah Alam. 

Kempen ini menjadi simbol bahawa Hot FM bukan sekadar stesen radio, tetapi sebuah jenama hiburan yang sentiasa mencipta pengalaman luar biasa buat pendengar sambil terus mengangkat nama Malaysia menerusi inovasi penyiaran di peringkat serantau dan antarabangsa.

Related Articles

Back to top button