Berita

Caj RM5 Isi Borang, Lelaki Warga Emas Ini Dipuji Bantu Orang Ramai Di KDN

Mengisi borang rasmi mungkin kedengaran mudah, namun sesiapa yang pernah berurusan dengan dokumen kerajaan pasti tahu betapa mengelirukannya proses tersebut, terutama apabila tidak pasti ruangan mana perlu diisi atau dokumen apa yang diperlukan.

Baru-baru ini, seorang lelaki warga emas mencuri perhatian orang ramai selepas seorang wanita berkongsi bahawa lelaki itu masih menawarkan khidmat mengisi borang di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta dengan caj sekitar RM5 hingga RM10 bergantung kepada jenis borang.

Menerusi satu hantaran di Threads, wanita tersebut mengakui terkejut apabila mengetahui khidmat penulis borang masih wujud pada masa kini.

Menurutnya, lelaki itu mengenakan caj RM5 untuk setiap borang manakala sesetengah borang pula berharga sekitar RM5 hingga RM10 untuk diisi.

Dia turut berkata sesiapa yang malas atau tidak tahu cara mengisi borang boleh mendapatkan bantuan lelaki tersebut di KDN Jalan Duta.

Gambar yang dimuat naik menunjukkan lelaki warga emas itu duduk di sebuah meja kecil dengan beberapa borang di hadapannya.

Pada alat bantuan berjalan miliknya pula tertera papan tanda bertulis ‘Filling Forms | Penulis Borang’.

Perkongsian itu pantas mendapat perhatian netizen dengan ramai meluahkan rasa kagum terhadap warga emas berkenaan.

Seorang pengguna mendakwa, lelaki warga emas itu fasih dalam beberapa bahasa selain arif mengenai urusan perundangan, prosedur kerajaan, jenis borang yang perlu diisi serta dokumen yang diperlukan.

Pengguna itu turut menyifatkannya sebagai ‘perpustakaan bergerak’ kerana ramai orang sering bertanya pelbagai soalan dan dia akan menerangkan satu persatu dengan jelas dan tenang.

Menurutnya, adalah sesuatu yang baik apabila warga emas seperti itu masih boleh bekerja dan menjana pendapatan sendiri.

Dalam masa sama, ramai netizen turut mengakui mereka memang tidak gemar mengisi borang sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

“Saya perlukan pak cik ini sebab saya memang benci isi borang,” tulis seorang pengguna secara berseloroh.

Seorang lagi netizen pula memuji penampilan kemas lelaki warga emas itu termasuk pakaian dan kasutnya yang kelihatan teratur.

Ada juga pengguna yang berkongsi pernah bertemu lelaki warga emas berkenaan sebanyak dua kali sebelum ini.

Menurut individu tersebut, pakcik itu pernah membantu mengisi borang pendaftaran sijil kelahiran anak perempuan dan anak lelakinya.

Pengguna itu mendakwa pakcik tersebut sebelum ini berada di dalam pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum diminta memindahkan mejanya ke luar bangunan.

Dia turut berkongsi bahawa lelaki warga emas itu pernah tidak kelihatan untuk satu tempoh kerana dimasukkan ke hospital.

Selain itu, ada netizen menyatakan khidmat seperti ini sangat membantu terutama kepada warga asing atau individu yang kurang arif mengenai borang kerajaan.

Seorang pengguna berkata memandangkan pakcik itu berada di kawasan KDN, mungkin ramai warga asing yang memerlukan bantuan untuk memahami cara mengisi borang tertentu.

Walaupun perkongsian itu bermula secara santai, ramai rakyat Malaysia akhirnya tersentuh melihat dedikasi senyap lelaki warga emas tersebut.

Bagi ramai orang, dia bukan sekadar membantu menulis di atas kertas, tetapi turut memudahkan urusan yang sering dianggap rumit dan memeningkan.

Related Articles

Back to top button