Berita

“Mahu Menyalak, Silakan”

Penyanyi dan komposer, Aisha Retno, 25, memilih untuk tidak mengulas panjang berhubung dakwaan membabitkan isu hutang yang hangat diperkatakan seorang individu di media sosial sejak kebelakangan ini.

Menurut Aisha, dia tidak melihat keperluan untuk memberi sebarang reaksi memandangkan individu yang dipercayai memuat naik hantaran berkaitan perkara itu tidak pernah menyebut namanya secara terbuka.

“Saya tiada komen sebab setakat ini individu tersebut pun tidak pernah menyebut nama saya secara langsung.

“Mungkin dia cuma mahu meluahkan apa yang terbuku dalam hati. Jadi bagi saya, tiada apa yang perlu saya ulaskan,” katanya.

Pelantun lagu Tak Adil itu turut menegaskan dia enggan terlalu melayan isu yang berlaku di media sosial dan memilih untuk memberi tumpuan kepada kerjaya serta kehidupan peribadi.

“Apa yang berlaku ini semuanya di alam maya. Tiada sebarang pertemuan atau perbincangan pun berlaku antara kami.

“Kalau perkara ini masih berpanjangan, mahkamah adalah jalan terakhir. Jadi kalau ada pihak mahu terus bersuara atau ‘menyalak’, silakan,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aisha menganggap segala ujian yang berlaku sebagai satu teguran dan peringatan daripada Allah agar dirinya sentiasa merendah diri serta tidak leka dengan rezeki yang dikurniakan.

“Saya anggap ini satu jentikan daripada Allah. Kadang-kadang bila kita sedang menerima banyak rezeki, Allah uji sedikit untuk tengok bagaimana kita memberi respon.

“Rezeki itu juga boleh datang bersama cabaran. Sebab itu kita kena sentiasa bersyukur dan jangan terlalu selesa,” katanya lagi.

Tambah penyanyi itu, dia kini lebih memilih untuk memberi fokus kepada pelbagai projek seni yang sedang menantinya termasuk persiapan untuk beberapa acara besar.

“Saya cuma mahu teruskan hidup seperti biasa sebab banyak lagi perkara yang perlu diberi perhatian seperti Anugerah Juara Lagu, Puteri Gunung Ledang, Pesta Pora dan juga perancangan untuk album baharu,” ungkapnya lagi.

Related Articles

Back to top button