Isteri Tak Selesa Ikmal Amry Sering Tayang Badan

Pelakon, Ikmal Amry, 31, mengakui isterinya, Najla Shamsul kurang selesa melihat dirinya terlalu kerap berkongsi foto atau video tidak berbaju di media sosial selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Menurut Ikmal, teguran daripada isterinya itu membuatkan dia mula memperlahankan imej seksi yang sering dipaparkan sebelum ini demi menjaga hati keluarga.
“Sejujurnya isteri memang kurang selesa bila saya terlalu kerap tayang badan. Selepas berkahwin, dia banyak menasihatkan supaya kurangkan perkara itu.
“Saya cuba ikut dan hormati pandangan dia. Sekarang saya sendiri sedang perlahan-lahan berubah,” katanya.
Tambah Ikmal, dia sedar penampilan fizikal bukan sesuatu yang akan kekal selamanya, justeru dia kini lebih berhati-hati dalam menentukan imej yang mahu ditampilkan kepada umum.
“Sampai bila sahaja saya nak ada badan macam ini. Mungkin bila umur dah 40 tahun nanti, keadaan pun tak sama lagi.
“Bila isteri sendiri sudah tegur, saya fikir memang sudah tiba masa untuk saya ‘slow down’.
“Daripada sembilan pertandingan Hyrox yang saya sertai, hanya empat sahaja saya buka baju. Selebihnya saya sudah mula pakai baju.
“Saya akui ada benda yang saya terlepas pandang sebelum ini. Jadi saya minta maaf kalau ada yang kurang selesa, itu khilaf saya,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Ikmal menjelaskan terdapat situasi tertentu yang memerlukan dirinya tampil tidak berbaju terutama ketika menjayakan naskhah aksi atau sukan lasak.
Katanya, perkara itu dilakukan atas tuntutan watak dan bukannya sekadar mahu meraih perhatian.
“Kalau untuk filem aksi atau karakter tertentu seperti petinju, memang tidak boleh dielakkan. Itu sebahagian daripada tuntutan watak.
“Tetapi kalau di luar urusan kerja, saya akan cuba lebih menjaga batas dan kurangkan perkongsian seperti itu di media sosial,” jelasnya.



