Berita

Dadi Cinema Pavilion Tutup Hari Ini

Dadi Cinema, rangkaian pawagam kedua terbesar di China, mengumumkan bahawa cawangannya di Pavilion Kuala Lumpur akan ditutup berkuat kuasa hari ini, 5 Mac 2026.

Penutupan itu berlaku selepas pawagam berkenaan beroperasi selama lima tahun sejak pembukaan rasminya pada 1 November 2021.

Menerusi satu pengumuman di Facebook, pihak Dadi Cinema memaklumkan bahawa penutupan tersebut dibuat susulan tamatnya perjanjian penyewaan premis.

“Sepanjang tahun-tahun ini, menjadi kegembiraan terbesar kami untuk menyambut kehadiran anda, ketawa bersama, menangis bersama dan berkongsi detik-detik yang tidak dapat dilupakan di layar perak. Sokongan, senyuman dan kecintaan anda terhadap filem amat bermakna buat kami.

“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perjalanan kami. Walaupun bab ini berakhir, kenangan akan sentiasa terpahat di hati,” tulis kenyataan itu.

Dadi Cinema turut memaklumkan cawangannya di Central Square, Sungai Petani, Kedah akan terus beroperasi seperti biasa.

Sementara itu, pihak pengurusan Pavilion KL dalam satu kenyataan memaklumkan ruang yang ditinggalkan Dadi Cinema akan diambil alih oleh TGV Cinemas.

Related Articles

Back to top button