Viral

“Rumah Tangga Saya Okay Sahaja, Tiada Masalah”

Pelakon, Yusuf Bahrin, 33, menegaskan rumah tangganya bersama isteri yang juga penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana berada dalam keadaan baik meskipun timbul spekulasi mendakwa hubungan mereka sedang bermasalah.

Menurut Yusuf, khabar angin yang bertebaran di media sosial itu hanyalah andaian segelintir pihak dan tidak berasas.

“Alhamdulillah, kami okey. Semua dalam keadaan baik. Saya pun tidak faham kenapa spekulasi ini timbul. Mungkin disebabkan kami tidak lagi memuat naik gambar bersama dalam media sosial.

“Tapi takkanlah kami kena ikut kehendak orang lain, muat naik gambar kami untuk puaskan hati netizen. Itu bukan cara kami.

“Yang pasti, rumah tangga saya okey dan tiada masalah, tiada apa yang perlu saya jelaskan mengenainya,” katanya.

Tambah Yusuf, dia dan isterinya memang sengaja memilih untuk tidak berkongsi momen bersama di media sosial dan lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing.

“Memang kami sengaja tidak berkongsi gambar atau video bersama, hanya fokus kepada kerja masing-masing. Kami lebih selesa begitu,” ujarnya.

Dalam masa sama, Yusuf mengakui dia sudah lali dengan pelbagai telahan yang sering timbul mengenai kehidupan peribadinya sejak berkahwin.

“Awal dahulu kami terkejut juga sehinggakan tidak tahu reaksi bagaimana harus kami berikan terhadap telahan-telahan yang diada-adakan ini.

“Tetapi sekarang ini kami sudah lali dengan keadaan ini. Siapapun boleh membuat spekulasi.

“Kita mudah berprasangka apabila melihat orang lain seperti ditimpa masalah. Sedangkan kita tak tahu apa yang sebenarnya mereka hadapi.

“Apa pun, itu tetap tidak menjadi masalah bagi saya. Spekulasi yang ditimbulkan biarlah kekal sebagai spekulasi sahaja,” katanya lagi.

Pada masa sama, Yusuf menegaskan dia tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk membuat andaian mengenai perkahwinannya, malah menganggap ia sebagai tanda keprihatinan peminat.

“Saya bersangka baik dengan semua orang, tidak pernah halang sesiapa pun membuat spekulasi tentang perkahwinan saya kerana itu hak masing-masing.

“Saya menganggap mereka sebenarnya prihatin sebab mungkin mereka ini peminat kami. Jadi mereka ambil berat.

“Perkara itu bagus, sebab kami perlukan doa orang ramai. Kami minta kesejahteraan dan kebaikan. Itu doa yang saya perlukan dari mereka,” jelasnya lagi.

Untuk rekod, Yusuf dan Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil mendirikan rumah tangga pada September 2021 dan sehingga kini pasangan itu masih belum dikurniakan cahaya mata.

Related Articles

Back to top button