“Mungkin Kami Akan Bertemu Di Kehidupan Yang Lain”

Pelakon, Nabila Huda, 41, berharap bapanya yang juga legenda rock tanah air, Amy Search, wajar memainkan peranan sebagai ketua keluarga bagi merungkai kemelut hubungan antara mereka.
Menurut Nabila, dia sudah melakukan pelbagai usaha untuk mencari titik perdamaian, namun sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian.
“Soal untuk berdamai atau mencari jalan penyelesaian, saya rasa lebih baik tanya pihak sana. Saya sudah banyak kali jawab pertanyaan ini.
“Setakat ini memang tiada jalan penyelesaian. Mungkin sebagai ketua keluarga dan seorang ayah, dia yang perlu selesaikan apa yang sepatutnya.
“Kalau saya berada di tempatnya, kehilangan anak dan tidak dapat berjumpa, saya sendiri tak mampu teruskan hidup seperti biasa.
“Saya takkan gembira kerana itu darah daging saya. Tapi saya tak tahu apa yang dia rasa, mungkin dia rasa yang sama cuma tidak tahu bagaimana untuk bertindak.
“Saya juga seorang ibu dan memang tak sanggup nak berpisah dengan anak sendiri, Keisha Laila, tapi tak tahulah kalau dia pun rasa benda begitu,” ujarnya.
Tambah Nabila, buat masa ini dia hanya mampu berdoa agar segala kemelut yang berlaku dipermudahkan dan suatu hari nanti akan ada jalan penyelesaian.
“Pada Ramadan kali ini, saya sudah tidak merindui sesiapa. Saya dah ‘move forward’. Kerinduan yang pernah saya luahkan sebelum ini dalam media sosial disebabkan rasa sangat rindu pada waktu itu.
“Ada perkara yang saya ternampak dan memang ‘trigger’ perasaan rindu tersebut, tapi sekarang saya sudah ‘move on’ dan penat berfikir serta bercakap perkara sama berulang kali.
“Namun, tidak salah kalau sekali-sekala saya terasa sebab manusia biasa, ada perasaan sedih, gembira dan marah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, dia tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap apa yang berlaku ketika ini kerana masih belum dapat melihat bagaimana pengakhiran konflik tersebut.
“Tapi saya sendiri tak dapat bayangkan kerana belum sampai ke tahap itu. Mungkin satu hari nanti ‘puzzle’ itu lengkap atau sebaliknya.
“Kalau kekosongan itu sempat diisi sebelum saya menutup mata, alhamdulillah. Kalau tidak, mungkin kami akan bertemu di kehidupan lain, saya hanya mampu berdoa.
“Doa saya cuma satu, supaya hidup saya ini benar-benar bahagia dan lengkap. Sekarang saya bahagia, cuma mungkin ada sedikit kekosongan tetapi jika terisi, mungkin kebahagiaan itu akan jadi berbeza,” kongsinya.



