Kes SMK Bandar Utama 4, Ibu Dedah Anak Ditikam 200 Kali
Ibu kepada mangsa tikaman di SMK Bandar Utama 4, Wong Lee Ping, meluahkan rasa hancur hati sewaktu mendedahkan mendiang anak perempuannya ditikam sebanyak 200 kali dalam kejadian tragik pada Selasa lalu.
Sambil menahan sebak, Wong, 44 tahun, berkata terdapat laporan tidak tepat yang tular di media sosial mengenai jumlah sebenar kesan tikaman pada tubuh anaknya, Yap Shing Xuen, yang berusia 16 tahun.
“Beberapa laman web melaporkan anak saya ditikam 50 kali, tetapi sebenarnya dia ditikam 200 kali, dari leher hingga ke paru-paru, termasuk di bahagian kaki,” katanya kepada wartawan ketika sidang media di Nirvana Center KL (NCKL) pada Khamis.
Wong memaklumkan bahawa anaknya diserang ketika berada dalam tandas sekolah.
“Pihak polis beritahu kami, suspek lelaki itu melompat dari atas dinding tandas kerana pintunya berkunci. Anak saya menjerit minta tolong dan jeritannya tidak didengar orang.
“Selepas menikamnya, budak itu terus melarikan diri dan meninggalkan anak saya terkunci di dalam tandas. Apabila guru-guru pecahkan pintu, dia sudah tiada,” katanya dengan suara tersekat menahan tangis.
Wong turut merayu kepada pengguna media sosial agar berhenti menyebarkan maklumat palsu dan tidak sensitif mengenai kejadian itu.
“Anak saya sudah menjadi mangsa. Tolong hentikan penyebaran cerita palsu tentang bagaimana dia meninggal dunia.
“Dia tidak mengenali budak itu, tidak pernah bercakap dengannya dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengannya,” jelasnya.
Yap, pelajar tingkatan tiga, dilaporkan mati ditikam oleh rakan sekolah lelaki berusia 14 tahun dalam kejadian sekitar jam 9.30 pagi, Selasa (14 Oktober).
Polis telah menahan suspek dan dia kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sumber: The Star
