Berita

ND Lala Sayang Anak-Anak Hingga Hujung Nyawa

Penyanyi popular era 80-an, Datuk ND Lala, 65, menegaskan kasih sayangnya terhadap anak-anak tidak pernah berubah walaupun kini tidak lagi tinggal bersama selepas berpisah dengan bekas isteri, Fauziah Sarman.

Pemilik nama sebenar Amir Amzah Salleh, menyifatkan anak-anak sebagai sebahagian daripada dirinya yang tidak mungkin dapat dipisahkan, sekali gus menepis tanggapan kononnya hubungan mereka menjadi renggang.

“Anak-anak adalah DNA saya dan perkara itu tidak akan berubah sampai bila-bila. Mereka lahir daripada kasih sayang saya dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada diri saya.

“Sebagai ibu bapa, kita menyayangi anak tanpa syarat. Saya sentiasa mendoakan mereka tanpa henti hingga ke akhir hayat,” katanya.

Pada masa sama, ND Lala memilih untuk tidak lagi mengulas panjang mengenai hal peribadi, khususnya berkaitan hubungan dengan anak-anak.

Menurutnya, dia kini lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya seni berbanding membuka ruang kepada spekulasi yang boleh mengundang salah faham.

“Saya tidak mahu berkongsi atau memberi kenyataan lanjut tentang perkara ini. Lebih baik saya fokus kepada kerjaya.

“Kalau orang mahu membuat tafsiran sendiri, itu hak masing-masing. Saya juga sudah jelaskan perkara ini dalam kenyataan sebelum ini pada 2023,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, ND Lala mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada 1989 sebelum berpisah pada 2 Ogos 2023. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Shila, Amir Syafiq, Amir Syahir dan Syada.

Fauziah kemudiannya meneruskan kehidupan baharu apabila mendirikan rumah tangga dengan Brigedier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh pada November tahun lalu.

Related Articles

Back to top button