Nadia Rosli, Ucie Sucita Pertaruh Aduh Gak Kuat

Penyanyi muda Nadia Rosli kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya, Aduh Gak Kuat, hasil kolaborasi bersama artis Indonesia, Ucie Sucita.
Lagu ini menampilkan gabungan elemen hipdut yang ceria dan bertenaga, sekali gus memperlihatkan sisi lebih segar dan versatil dalam perjalanan seninya.
Sebelum ini, Nadia dikenali menerusi lagu-lagu beremosi seperti Hati Yang Tercemar dan Sabarlah Hati yang mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan.
Hati Yang Tercemar menonjolkan kisah luka akibat janji yang dimungkiri dan kecurangan, manakala Sabarlah Hati pula menggambarkan hubungan yang retak kerana ketidaksetiaan dan kepura-puraan sehingga membawa kepada perpisahan.
Kedua-dua lagu ini turut menyampaikan mesej tentang kepentingan kejujuran dan menghargai cinta yang tulus. Kini, Nadia tampil dengan pembaharuan apabila meneroka genre hipdut menerusi Aduh Gak Kuat.
Lagu ini ditulis oleh Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra, yang sebelum ini terkenal dengan karya seperti Ngga Dulu, Calon Mantu Idaman dan Kasih Tau Mama.
Ia turut digubah bersama Aji Suherri yang juga bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik. Aduh Gak Kuat menggabungkan elemen romantik yang bersahaja dengan groove tarian yang catchy, menjadikannya sebuah lagu yang mudah melekat di telinga.
Mengangkat tema ‘love confession’, lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang jatuh cinta dengan begitu mendalam sehingga tidak mampu lagi menyembunyikan perasaannya.
Liriknya disampaikan dengan gaya santai, diselitkan elemen humor dan flirting seperti gunting, batu, kertas dulu, kalau aku menang, kita ke penghulu, yang menambah daya tarikan lagu ini.

Menurut Nadia, kekuatan utama lagu ini terletak pada susunan beat yang berpotensi mencetuskan trend di media sosial.
“Lagu ini ada unsur hype beat yang boleh dijadikan trend, terutamanya bahagian catchy yang sesuai untuk ‘velocity trend’ di TikTok. Saya rasa itu antara elemen yang boleh buat lagu ini viral,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, Nadia turut menekankan kepentingan keberanian dalam meluahkan perasaan, selari dengan mesej yang dibawa oleh lagu ini.
“Sangat penting untuk kita berani meluahkan perasaan supaya kita tahu sama ada perasaan itu berbalas atau tidak. Ia juga mengelakkan kita daripada memendam rasa terlalu lama bukan soal ditolak atau tidak, tetapi tentang kejujuran pada diri sendiri,” tambahnya lagi.
Bagi memastikan penyampaian lagu ini kekal natural dan penuh emosi, Nadia memilih untuk membina mood rakaman dengan membayangkan momen-momen bahagia dalam hidupnya.
“Saya bayangkan situasi ceria bersama keluarga dan kawan-kawan supaya vibe lagu ini lebih hidup, sebab Aduh Gak Kuat memang perlukan energy yang fun dan positif.
“Saya terbuka untuk mencuba apa sahaja genre. Saya mahu explore sebanyak mungkin supaya terus relevan dan tidak berada dalam zon selesa,” ujarnya.
Melihat kepada perkembangan trend muzik semasa, Nadia juga terbuka untuk terus meneroka pelbagai genre, termasuk hipdut, sebagai sebahagian daripada evolusi kerjayanya.
Melalui “Aduh Gak Kuat”, Nadia berharap lagu ini mampu memberi impak positif kepada pendengar, khususnya mereka yang sedang melalui fasa sukar.
“Saya harap lagu ini dapat menceriakan mereka yang sedang bersedih dan buat mereka kembali tersenyum,” katanya.
Dengan gabungan melodi yang segar, lirik yang menghiburkan dan tenaga yang positif, “Aduh Gak Kuat” dilihat sebagai satu lagi langkah kukuh buat Nadia Rosli dalam mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik serantau.



