Projek & Kontrak Elly Mazlein Ditamatkan Selepas Berhijab
Selepas memilih untuk berhijab, pelakon dan pengacara, Elly Mazlein, 44, mengakui hijrahnya itu hadir bersama beberapa dugaan dalam kerjaya seninya.
Menurut pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, tidak semua perkara berjalan lancar selepas penghijrahan itu, malah ada beberapa projek yang terpaksa dibatalkan serta kontrak yang ditamatkan secara tiba-tiba.
“Selepas saya berhijrah, memang ada beberapa tawaran kerja yang sebelum ini dah hampir dimuktamadkan tiba-tiba dibatalkan.
“Saya anggap semua itu sebagai ujian dan peringatan. Rezeki tetap milik Allah, bukan manusia yang tentukan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Mengakui dirinya juga pernah berasa bimbang terhadap masa depan dalam dunia seni, ibu kepada dua anak itu bagaimanapun memilih untuk berserah sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi.
“Perasaan risau itu normal, tapi saya nak nasihatkan kepada sesiapa yang sedang berfikir untuk berubah, jangan takut.
“Kalau hilang satu atau dua rezeki sekalipun, yakinlah Allah akan gantikan dengan yang lebih baik dan berkat,” ujarnya penuh tenang.
Dalam masa sama, Elly yang turut mesra disapa dengan panggilan Kak Lina Pom Pom itu turut menzahirkan penghargaan kepada peminat yang terus memberi sokongan tanpa henti.
“Saya bersyukur kerana peminat sentiasa bersama saya dari dulu sampai sekarang. Saya doakan juga agar kita semua sentiasa dilindungi Allah, dimurahkan rezeki dan dikelilingi orang yang baik-baik. Itu pun satu nikmat besar,” katanya lagi.
Bagi Elly, penghijrahannya bukanlah penamat kepada perjalanan kariernya, sebaliknya satu fasa baharu yang membuka ruang untuk menjadi insan dan anak seni yang lebih matang.
“Saya tak pernah anggap hijrah ini sebagai penghalang. Saya masih minat berlakon, menyanyi, dan mengacara.
“Cuma kali ini, semuanya berlandaskan niat yang lebih jelas untuk mencari reda Allah,” ujarnya tenang.
