BeritaConcert

Sistem Bunyi Ditutup Mengejut, Penganjur Konsert RadjaWali Bakal Saman Pengurusan Premis

Penganjur konsert Pentas RadjaWali Live in Malaysia, Impian Al Fateh Sdn Bhd bersama GIS Entertainment & Events dan Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events), bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan premis acara di Petaling Jaya susulan insiden penutupan sistem bunyi secara tiba-tiba ketika konsert berlangsung pada 10 Januari lalu.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata insiden itu berlaku ketika kumpulan Wali Band sedang mempersembahkan lagu ke-10 berjudul Ada Gajah Di Balik Batu, sekali gus menjejaskan reputasi penganjur, artis terlibat dan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penonton.

Menurutnya, pihak penganjur telah mengadakan perbincangan bersama panel peguam dan kini meneliti tindakan undang-undang terhadap pengurusan lokasi atas faktor kecuaian serta pelanggaran persetujuan yang telah dimeterai.

Pihaknya menjelaskan, selain isu menghormati azan dan waktu solat Isyak seperti yang dilaporkan sebelum ini, terdapat beberapa masalah teknikal lain yang menyumbang kepada kelewatan dan akhirnya membawa kepada insiden berkenaan.

“Susulan insiden itu, pihak penganjur sudah mengadakan perbincangan bersama panel peguam dan kini sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak pengurusan lokasi atas faktor kecuaian serta pelanggaran persetujuan.

“Kami mengakui berlaku sedikit kelewatan, namun ia berpunca daripada masalah teknikal di luar kawalan kami dan bukan kelemahan penganjur semata-mata,” katanya.

Antara masalah dikenal pasti ialah gangguan pada sistem tiket yang disediakan pihak premis sehingga proses pengesahan menjadi perlahan, selain liputan internet yang lemah di dalam dewan sehingga menyukarkan imbasan kod QR tiket.

Keadaan itu menyebabkan kesesakan luar biasa di pintu masuk dan menjejaskan waktu permulaan persembahan yang sepatutnya mengikut jadual.

Mubarak menegaskan kelewatan tersebut berpunca daripada pasukan tiket yang dilantik oleh pihak lokasi dan bukan disebabkan artis atau penganjur.

Menurutnya lagi, hasil siasatan awal dan nasihat guaman mendapati tindakan mematikan bekalan elektrik tepat jam 12 tengah malam dibuat secara unilateral tanpa sebarang rundingan atau persetujuan penganjur.

“Kami sudah berunding dengan pihak premis dan wakil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di lokasi serta memohon kelonggaran masa sehingga jam 12.30 tengah malam bagi membolehkan konsert ditamatkan dengan sempurna,” katanya.

Tambah Mubarak, pihak penganjur sanggup menanggung sebarang risiko termasuk kehilangan deposit atau dikenakan denda demi memastikan kepuasan penonton, malah telah menerima persetujuan lisan untuk satu lagu terakhir sebagai bonus.

Namun, sebaik sahaja lagu tersebut tamat, sistem bunyi dimatikan tanpa sebarang pengumuman atau ucapan penutup, meskipun tiada klausa yang membenarkan tindakan sedemikian dilakukan ketika persembahan masih berlangsung.

Mubarak turut memaklumkan bahawa mengikut Enakmen Hiburan Negeri Selangor, acara hiburan dalam dewan dibenarkan beroperasi sehingga jam 1 pagi dan tindakan menutup sistem bunyi pada jam 12 tengah malam adalah tidak berasas serta berpotensi menimbulkan risiko keselamatan.

Sementara itu, peguam penganjur, Hasshahari Johari Mawi, berkata pihaknya kini sedang memuktamadkan jumlah kerugian termasuk kerosakan reputasi sebelum membawa perkara itu ke mahkamah.

Sebagai tanda penghargaan dan permohonan maaf kepada peminat, penganjur merancang membawa semula Wali Band untuk konsert khas di Kuala Lumpur pada 1 Mei depan, dengan tawaran diskaun istimewa kepada penonton yang hadir pada malam kejadian.

Related Articles

Back to top button