Berita

Nak Masuk Vietnam? Perlu Isytihar Pra-Ketibaan Bermula 15 April

Warga asing yang memasuki Vietnam melalui Tan Son Nhat International Airport di Ho Chi Minh City kini diwajibkan melengkapkan pengisytiharan pra-ketibaan sebelum mendarat, susulan peraturan baharu yang berkuat kuasa pada 15 April lalu.

Peraturan ini terpakai kepada semua warga asing yang memasuki Vietnam, termasuk rakyat Vietnam di luar negara yang menggunakan visa, menurut pihak imigresen Vietnam seperti dilaporkan oleh Viet Nam News.

Pelancong perlu mengisi maklumat peribadi dan perjalanan secara dalam talian sebelum tiba, dan selepas itu akan menerima kod QR untuk ditunjukkan kepada pegawai imigresen semasa ketibaan.

Pejabat Imigresen Ho Chi Minh City memaklumkan bahawa pengisytiharan tersebut memerlukan pelancong memberikan butiran pengenalan diri, gambar pasport, maklumat perjalanan serta butiran penginapan melalui portal rasmi pra-ketibaan Vietnam, lapor Vietnam News.

Rakyat Vietnam yang menggunakan pasport Vietnam dikecualikan daripada keperluan ini, begitu juga penumpang transit yang tidak melalui pemeriksaan imigresen.

Pihak berkuasa turut memberi amaran bahawa pelancong yang gagal melengkapkan pengisytiharan sebelum ketibaan mungkin berdepan masa menunggu lebih lama di kaunter imigresen.

Pengisytiharan boleh dilakukan melalui portal rasmi pra-ketibaan Vietnam atau dengan mengimbas kod QR yang disediakan melalui saluran rasmi.

Buat masa ini, langkah ini hanya dilaksanakan di Tan Son Nhat, pintu masuk antarabangsa paling sibuk di Vietnam, dan belum diperluaskan ke lapangan terbang lain seperti Noi Bai International Airport. Pihak berkuasa juga belum mengumumkan bila ia akan diperluaskan ke lokasi lain.

Menurut Tuoi Tre News, langkah ini diperkenalkan bagi memodenkan prosedur imigresen, memendekkan masa pemeriksaan serta mengurangkan kesesakan di lapangan terbang tersebut.

Syarikat penerbangan, agensi pelancongan dan pihak berkaitan turut diminta memaklumkan penumpang mengenai keperluan ini sebelum berlepas bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Related Articles

Back to top button