“Orang Luar Tidak Perlu Masuk Campur Urusan Que Haidar”

Pelakon, Kodi Rasheed, 35, menasihatkan orang ramai agar tidak mencampuri urusan peribadi aktor Que Haidar yang kini menjadi perhatian susulan isu rumah tangganya.
Pemilik nama sebenar Muhammad Shazmeer Mohd Rasheed, berkata masyarakat luar tidak sepatutnya membuat andaian atau melontarkan pandangan tanpa mengetahui situasi sebenar yang sedang dilalui.
Menurutnya, perkara melibatkan rumah tangga adalah hal sensitif dan sebaiknya diselesaikan oleh pihak terlibat tanpa gangguan luar.
“Apa yang boleh saya katakan, orang luar tidak perlu masuk campur urusan Que Haidar. Biarlah mereka selesaikan sendiri.
“Tak perlu ada sindiran atau provokasi kerana kita tidak tahu cerita sebenar. Insya-Allah, akan ada jalan terbaik untuk mereka,” katanya.
Kodi yang pernah berguru dengan Que turut mendedahkan dia ada menghubungi aktor berkenaan, namun hanya sekadar bertanya khabar seperti kebiasaannya.
“Saya memang ada berhubung dengan dia sebab dia cikgu saya. Sudah tentu saya tanya keadaan dia okay atau tidak.
“Saya juga sempat ajak dia menonton filem terbaru saya, Libang Libu, selain bertanya tentang promosi filem Malaikat Malam. Itu sahaja,” katanya.
Tambah Kodi, hubungan mereka tidak berubah dan dia sememangnya sering berkomunikasi dengan Que, termasuk menghubunginya beberapa kali dalam seminggu.
“Bertanya khabar itu perkara biasa. Saya memang akan hubungi dia dua atau tiga kali seminggu. Alhamdulillah, dia okay.
“Saya tak mahu masuk campur kerana kedua-duanya adalah guru saya,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai sokongan yang diterima Que daripada rakan selebriti dan netizen, Kodi melihat ia sebagai tanda penghargaan terhadap kebaikan yang pernah ditabur aktor itu sebelum ini.
“Ramai yang sayangkan dia, itu sesuatu yang baik. Apa yang dia beri sebelum ini, mungkin itulah yang dia terima sekarang.
“Cuma bila perkara ini terjadi, saya akui rasa sedih. Malah ketika mereka berpisah dahulu pun saya rasa begitu kerana mereka pasangan yang sangat serasi,” ungkapnya.
Dalam pada itu, Kodi menegaskan dia memilih untuk tidak bertanya lebih lanjut mengenai isu tersebut bagi mengelakkan dirinya dilihat mencampuri urusan peribadi orang lain.
“Kalau tanya lebih-lebih, nanti nampak seperti kita masuk campur. Jadi saya hanya mampu beri sokongan dari jauh.
“Saya doakan yang terbaik dan berharap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku,” katanya lagi.



