Penyanyi Indonesia Tambat Hati Ismail Izzani

PENYANYI Ismail Izzani, 25, mendedahkan sedang mengenali hati budi seorang wanita yang juga merupakan artis asal Indonesia iaitu Gabriella Ekaputri.

Pemilik nama lengkap Ismail Izzani Zainal Nazeri, berkata, mereka selesa berkawan dan saling memahami antara satu sama lain memandangkan masing-masing berada dalam industri hiburan.

“Kami berdua tidaklah bercinta tetapi dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Sekarang pun, masing-masing aktif dalam dunia seni.

“Saya di Malaysia dan dia di Indonesia, dia pun berlakon dan buat lagu. Kami hanya memberikan sokongan antara satu sama lain.

“Saya selesa dengannya mungkin kerana dia juga berada dalam satu industri (hiburan) yang sama. Dia pun faham dengan kerja-kerja saya,” katanya dalam sebuah majlis baru-baru ini.

Sudah hampir setahun berkawan, Ismail yang popular dengan lagu Iman itu bagaimanapun berkata mereka masih belum berkesempatan untuk berjumpa secara berdepan.

“Kami berkenalan di media sosial sudah hampir setahun. Nak kata kami menjalinkan hubungan secara terbuka tidak juga.

“Kami berdua okay sahaja berhubungan seperti ini. Cuma kadang-kadang ada juga kami berbalas komen di IG dan muat naik hantaran di IG story.

“Buat masa ini hubungan kami tidak lebih daripada itu. Saya pun belum berpeluang bertemu dengannya dan sekiranya kalau ada rezeki dia akan datang ke Malaysia atau saya yang akan ke Indonesia,” tuturnya lagi.

Related post

Leave a Reply