Lelaki Didenda RM15,823 Kerana Pandu Porsche Dengan Dua Anak Duduk Atas Bonet

Seorang lelaki warga Singapura berusia 40 tahun yang memandu kereta Porsche miliknya sambil membiarkan dua anak lelakinya duduk di atas bonet belakang kenderaan itu didenda dan digantung lesen memandu.
Menurut laporan CNA, Prem Anan Sugunakumar mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan perbuatan melulu yang membahayakan keselamatan orang lain.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak 5,000 dolar (RM15,823) serta menggantung lesen memandunya selama enam bulan. Insiden tersebut berlaku pada 20 Oktober 2025.
Rakaman video yang kemudian tular di media sosial menunjukkan dua kanak-kanak lelaki sedang duduk di bahagian belakang sebuah Porsche yang sedang bergerak.
Dalam video tersebut, Porsche itu dilihat dipandu di sepanjang Dairy Farm Lane, Bukit Panjang, manakala kedua-dua kanak-kanak itu duduk di atas bonet belakang sambil berpaut pada spoiler kereta.
Seorang wanita turut kelihatan berdiri di tepi jalan, dipercayai sedang merakam video atau mengambil gambar kanak-kanak berkenaan.
Menurut CNA, kedua-dua anak Prem masing-masing berusia tujuh dan lapan tahun ketika kejadian.
Prem mengakui yang dia sedar tindakannya boleh membahayakan anak-anaknya, namun memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia berbuat demikian kerana menyangka ia akan menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk mereka.
Prem dilaporkan pernah melakukan lebih 15 kesalahan trafik antara tahun 2004 hingga 2020, termasuk memandu melebihi had laju, memandu secara tidak bertimbang rasa dan meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan.
Pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, iaitu denda 5,000 dolar serta penggantungan lesen selama enam bulan.
Pendakwa berhujah bahawa hanya kerana bernasib baik kedua-dua kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, sedangkan mereka sangat terdedah kepada risiko memandangkan usia yang masih muda.
Sebagai bapa, Prem sepatutnya mengutamakan keselamatan anak-anaknya, namun sebaliknya dia dengan sengaja meletakkan mereka dalam situasi berbahaya.
Pihak pembelaan pula memohon denda antara 3,500 dolar (RM11,074) hingga 4,000 dolar (RM12,656) serta penggantungan lesen selama empat hingga enam bulan.
Peguam Prem berkata, anak guamnya tidak pernah cuba memperkecilkan kesalahan tersebut dan mengakui beliau mempunyai tanggungjawab sebagai bapa dan pemandu untuk melindungi anak-anaknya. Pegua turut memaklumkan Prem mengaku bersalah pada peringkat awal, menunjukkan penyesalan serta mempunyai perwatakan yang baik.
Peguam itu berhujah bahawa hukuman denda maksimum tidak wajar dikenakan kerana Prem mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua anaknya dan sentiasa berusaha meluangkan masa bersama mereka walaupun sibuk menguruskan perniagaan.
Mahkamah turut dimaklumkan mengenai sumbangan amal Prem, termasuk membantu program pengagihan makanan serta menyertai pelbagai inisiatif untuk kanak-kanak dan warga emas.
Ketika menjatuhkan hukuman, hakim menyuarakan kebimbangan terhadap rekod kesalahan trafik Prem, sambil menyatakan beliau dilihat tidak mengambil serius undang-undang jalan raya.
Prem memberitahu mahkamah bahawa beliau telah mengambil iktibar daripada kesalahan lalu dan menegaskan rekod pemanduannya bersih sepanjang enam tahun kebelakangan ini.
Hakim menyifatkan kesalahan itu sebagai sangat serius, namun bersetuju dengan hujahan kedua-dua pihak bahawa hukuman penjara tidak diperlukan. Hakim turut mengingatkan Prem supaya tidak mengulangi perbuatan melulu seperti itu pada masa hadapan.
Bagi kesalahan melakukan perbuatan melulu yang membahayakan keselamatan orang lain, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga 2,500 dolar RM7,910), atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, dalam kes Prem, hukuman maksimum tersebut digandakan kerana kesalahan itu melibatkan kanak-kanak berusia di bawah 14 tahun.



