Farid Kamil, Diana Danielle Sah Bercerai Talak Satu Kali Kedua

KEMELUT rumah tangga pasangan selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle akhirnya menemui titik noktah apabila mereka sah bercerai talak satu buat kali kedua di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, hari ini.

Lafaz cerai itu dibuat Farid di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin dan perkara tersebut disahkan peguam yang mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader.

Tidak mahu menyimpan dendam antara satu sama lain, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson bersyukur segala proses dipermudahkan.

Jelas Diana, fokus mereka selepas ini adalah untuk membesarkan dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora.

Dalam masa sama, Farid atau nama lengkap Farid Kamil Zahari turut meluahkan rasa syukur proses perceraian dipermudahkan.

Sebelum berlalu pergi meninggalkan pekarangan mahkamah, Farid dan Diana sempat bersalaman buat kali terakhir dan mengucapkan selamat tinggal.

Imbas kembali, kemelut rumah tangga mereka bermula selepas Diana mengumumkan nekad mahu berpisah dan memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua pada 28 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, Farid dan Diana pernah bercerai talak satu buat kali pertama menerusi ‘Google Meet’ pada 10 Ogos 2023 namun, kembali rujuk semula selepas 21 hari.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 12, dan Nur Aurora yang kini berusia 10 tahun.

Related post

Leave a Reply