Viral

‘Saya Terhibur Tengok Muka Jadi Meme, Tapi Jangan Melampau’

Pelakon, Zizan Razak, 42, mengakui dia pada mulanya tidak kisah apabila wajahnya dijadikan bahan jenaka dan disunting menjadi pelbagai meme di platform Threads, malah menganggap kreativiti warga maya sebagai sesuatu yang menghiburkan.

Namun, aktor itu menegaskan setiap gurauan perlu ada batas, terutama apabila suntingan berkenaan menyentuh soal agama atau digunakan bagi tujuan komersial tanpa mendapat keizinannya.

Menurut Zizan, dia juga menerima beberapa mesej peribadi daripada individu yang tampil memohon maaf selepas menyedari tindakan mereka keterlaluan.

“Ada yang DM saya minta maaf dan saya sempat baca. Cuma belum sempat balas sebab agak sibuk. Saya hargai mereka yang berani mengaku silap, tetapi ada juga yang langsung tidak berbuat demikian.

“Kalau sekadar nak bergurau dan menghiburkan orang ramai, saya boleh terima. Saya ketawa tengok meme hasil suntingan mereka. Cuma bila ada yang ambil kesempatan, pada saya sudah tidak manis,” katanya.

Mengulas lanjut, Zizan berkata dia hanya mengetahui trend berkenaan selepas ramai pengguna media sosial bertanya sama ada dia sudah melihat gambar-gambar suntingan yang tular di Threads.

Katanya, pada peringkat awal dia seronok melihat kreativiti netizen yang mengubah suai wajahnya dalam pelbagai situasi lucu.

“Pada mulanya saya memang terhibur. Saya rasa mereka kreatif dan kelakar. Tetapi apabila ada yang mula menyunting gambar saya menjadi perempuan, itu melampau, saya rasa itu sudah melampaui batas.

“Dulu mungkin saya pernah melakonkan watak berpakaian wanita, tetapi apabila semakin matang, saya faham perkara seperti itu tidak sesuai.

“Ada juga yang edit saya jadi The Nun. Itu melibatkan agama lain dan bagi saya perkara seperti itu sangat sensitif serta tidak sepatutnya dilakukan,” katanya lagi.

Selain isu suntingan gambar, Zizan turut meluahkan rasa kurang senang apabila wajahnya digunakan sesuka hati oleh pihak tertentu bagi mempromosikan produk tanpa mendapatkan kebenaran.

Katanya, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah boleh menjejaskan reputasi serta kerjayanya sebagai anak seni.

“Saya nampak bukan sahaja peniaga kecil, malah ada syarikat yang menggunakan gambar saya untuk tujuan promosi. Saya tak mahu perkara ini berlarutan sehingga terpaksa mengambil tindakan undang-undang seperti yang pernah berlaku kepada artis lain.

“Sebab itu saya keluarkan kenyataan ini. Bukan kerana marah, tetapi saya mahu semua faham bahawa ada perkara yang perlu dihormati, lebih-lebih lagi apabila membabitkan agama dan hak individu,” ujarnya.

Sebelum ini, nama Zizan menjadi perhatian di Threads apabila wajahnya disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai imej kreatif yang kemudian dikongsi secara meluas sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan pengguna media sosial.

Related Articles

Back to top button